PEKAN lama Cannes di Perancis akan membuka pavilion lokasi festival filem tahunan berprestij yang ditunda kerana Covid-19 kepada golongan yang kehilangan tempat tinggal susulan pandemik berkenaan.
Festival Filem Cannes yang terbesar di dunia tidak akan diadakan pada 12 sehingga 23 Mei susulan wabak Covid-19 yang melanda.
Pada Jumaat Perancis melaporkan 78 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu kepada 450 orang.
Sebanyak 12,612 orang disahkan dijangkiti tetapi pihak berkuasa memberi amaran bahawa angka sebenar mungkin lebih tinggi.
Berikutan perkembangan ini pihak berkuasa pebandaran Cannes berkata tempat yang biasanya menempatkan kongres dan acara seni dibuka bagi menampung sehingga 50 orang gelandangan dan dilihat sebagai “simbol perpaduan”.
“Pada masa ini keutamaan adalah mengurung mereka yang lemah,” kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan bandar Cannes, Dominique Aude-Lasset.
Katil, makanan dan bilik mandi disediakan selaras dengan peraturan jarak sosial untuk mengelak jangkitan virus di seluruh Perancis.
Televisyen juga disediakan sementara pemeriksaan suhu dan beg akan dijalankan di setiap pintu masuk. Kata Aude-Lasset.
Penganjur Festival Cannes pada Khamis berkata acara itu tidak dapat diteruskan pada Mei tetapi ditangguhkan sehingga pertengahan Jun atau awal Julai.
Di sepanjang pantai Mediterraneean di Nice, pihak berkuasa juga bercadang membuka tempat tinggal kepada gelandangan bermula Isnin ini. – AFP, 21 Mac, 2020.
Komen