Kecenderungan bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak perlu diberi perhatian, kata pakar 


Angie Tan

Kanak-kanak berumur semuda enam tahun mengancam untuk bunuh diri bagi memberi tekanan kepada ibu bapa mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

GOLONGAN dewasa perlu mengambil serius kecenderungan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja untuk membunuh diri, kata pakar psikologi susulan laporan statistik polis yang menyatakan lebih 800 daripada 1,708 kes bunuh diri pada 2019 melibatkan remaja.

Kanak-kanak menunjukkan kecenderungan untk membunuh diri pada usia muda, kata pakar psikologi Alice Lee, dengan mereka berumur semuda enam tahun mengancam untuk bunuh diri bagi memberi tekanan kepada ibu bapa mereka. 

“Ibu bapa mendisiplinkan atau memukul anak-anak mereka, dan anak itu kemudian mengatakan mereka akan membunuh diri dan mengancam akan terjun dari sebuah bangunan,” kata Lee kepada The Malaysian Insight, menceritakan salah satu kes yang ditanganinya.

“Adakah mesej mengenai bunuh diri menjadi lebih umum di persekitaran kita? Jika tidak, kanak-kanak di bawah umur 10 tahun umumnya tidak mempunyai konsep ini.

“Saya menggesa ibu bapa untuk memberi lebih perhatian. Sekiranya anda mendengar kanak-kanak mengatakan sesuatu seperti ini, jangan memandang ringan, anda harus beri perhatian dan selesaikannya dengan segera,” kata Lee.

Pada 1 Julai lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan mendedahkan statistik yang menunjukkan sebanyak 1,708 kes bunu diri direkodkan dari 2019 hingga Mei tahun ini. 

Manakala 609 kes bunuh diri dilaporkan pada 2019 dan 631 tahun lalu, yang mana ia menunjukkan peningkatan mendadak pada lima bulan pertama tahun ini dengan 468 kes. 

Lee berkata masalah biasa yang dihadapi remaja berusia 15-18 tahun adalah tekanan pelajaran dan hubungan keluarga. 

Masalah ini semakin buruk dengan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19. 

“Impak pandemik menguji hubungan kekeluargaan. Masalah yang sedia ada semakin teruk dan hubungan menjadi semakin renggang, contohnya antara suami dan isteri yang kedua-duanya terkurung di rumah. 

“Kanak-kanak melihat apa yang berlaku, namun tidak tahu apa yang harus dilakukan.”

Pusat kaunselingnya menerima lebih banyak panggilan bantuan dalam tempoh sekatan pergerakan mengenai kebimbangan pelajaran. 

“Golongan remaja menyatakan kebimbangan mereka mengenai kerja sekolah dan masa depan mereka. Ada antara mereka sedia memasuki sekolah menengah namun oleh kerana pandemik, keputusan peperiksaan mereka tidak memuaskan. – 7 Julai, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen