Selangor sasar 135,000 vaksinasi setiap hari, kata menteri besar


Noel Achariam

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyasarkan negeri paling ramai penduduk itu akan dapat memberi vaksin sebanyak 135,000 setiap hari dalam usaha mengekang penularan Covid-19, selain hasilnya akan dapat dilihat dalam tiga minggu selepas ia dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2021.

SELANGOR menyasarkan 135,000 rakyatnya akan divaksin setiap hari dalam bulan ini di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax), kata Amirudin Shari.

Menteri Besar Selangor itu berkata, sejak minggu lalu mereka telah memberi vaksin kepada 53,000 orang setiap hari.

“Melalui Selvax, kita dapat tingkatkan proses vaksinasi seperti yang disasarkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin,” katanya selepas mengunjungi Mentari Court di Petaling Jaya yang telah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Bulan lepas, Khairy berkata Selangor akan dapat mencapai kadar vaksinasi 80% menjelang September memandangkan negeri itu merancang meningkatkan kadar vaksinasi hariannya.

Katanya negeri paling padat penduduk itu akan meningkatkan kadar vaksinasi hariannya kepada 135,000 setiap hari pada Julai dan 165,000 sehari pada Ogos.

Awal hari ini, Selangor yang sedang berusaha mengurangkan jumlah kes baharu Covid-19 di sektor kerja telah menerapkan strategi vaksinasi yang memfokuskan pada sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Exco Industri dan Perdagangan Selangor Teng Chang Khim berkata Selvax mensasarkan 1 juta pekerja diberi vaksin Covid-19, serta terbuka kepada syarikat atau industri untuk menyertai secara sukarela.

Strategi Vaksinasi Berorientasikan Industri Tersasar bagi mengekang penularan penyakit dengan memvaksinasi mereka yang kemungkinan besar akan dijangkiti.

Semalam, Lembah Klang mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dengan Selangor melaporkan 2,262 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 616. Jumlah keseluruhan sejak pandemik bermula adalah 259,852, menjadikannya negeri dengan jumlah jangkitan paling tinggi.

Amirudin berkata, dengan melihat proses vaksinasi semasa, Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak telah melebihi 1 juta dos.

“Sebab kita ada penduduk yang ramai, peratusan yang disasarkan adalah rendah.

“Jika kita tengok proses vaksinasi untuk orang dewasa, di Selangor kita telah melebihi 10% dan sekarang kita berada pada 27% untuk dos pertama.

“Bagi dos kedua, kita berada pada 8% hingga 9% penduduk.”

Beliau percaya mereka akan mendapat hasil dari pelaksanaan PKPD dalam tiga minggu.

“Hanya dalam tiga minggu kita akan dapat tengok kesannya dan jika ada penurunan kes. Senjata kita sekarang adalah vaksin, jadi fokusnya adalah PKPD dan proses vaksinasi.” – 5 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen