KERAJAAN negeri Selangor akan mengguna pakai strategi vaksinasi bersasar yang menumpu kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan bagi mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19, kata exco.
Exco Industri dan Perdagangan Selangor Teng Chang Kim berkata Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri mensasarkan 1 juta pekerja diberi vaksin Covid-19, serta terbuka kepada syarikat atau industri untuk menyertai secara sukarela.
“Strategi ini disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan berorientasikan industri,” katanya pada sidang maya secara dalam talian hari ini.
Teng berkata syarikat atau industri yang mahu menyertai program Selvax Industi perlu membiayai kos vaksinasi pekerja mereka.
“Kos bagi dua dos untuk seorang pekerja adalah RM350. Ditanggung sepenuhnya oleh majikan, dan mereka tidak boleh mengenakan sebarang bayaran kepada pekerja.
“Ini dinyatakan jelas dalam perjanjian,” katanya, pada sidang media maya bersama Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan Selangor Rodziah Ismail.
Menurut Teng, syarikat yang menyertai program Selvax Industri juga tidak dibenarkan menjual slot janji temu kepada syarikat atau individu lain. Vaksinasi dijalankan hanya melalui janji temu, bukan secara walk-in, jelasnya lagi. – 5 Julai, 2021.
Komen