KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 6,045 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan Selangor terus menyumbang sebahagian besar kes.
Hari ini adalah hari keenam berturut-turut KKM melaporkan lebih 6,000 kes setiap hari.
Jumlah keseluruhan jangkitan ketika ini adalah sebanyak 778,652 kes.
Selangor mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dengan 2,262 kes diikuti oleh Kuala Lumpur dengan 616 kes.
Negeri Sembilan mencatatkan 531 kes, Johor (500), Sabah (228), Sarawak (356), Melaka (290), Pahang (95), Pulau Pinang (173), Perak (384), Labuan (75), Kedah (332), Kelantan (124), Terengganu (54) dan Putrajaya (16).
Perlis bagaimanapun tidak melaporkan sebarang kes.
Selangor secara berkala mencatat lebih 2,000 kes harian dengan jumlahnya meningkat kepada 3,047 kes semalam berbanding 2,907 pada hari Jumaat.
Jumlah kes yang tinggi di negeri ini disebabkan oleh ujian saringan besar-besaran yang dijalankan oleh kerajaan negeri pada 1 Mei.
Kes-kes di Lembah Klang berada di tahap tinggi walaupun sekatan pergerakan penuh dikenakan pada 1 Jun.
Berikutan itu sebahagian besar kawasan di Selangor dan 16 daerah di Kuala Lumpur diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) selama dua minggu bagi menurunkan jumlah kes koronavirus.
Lima negeri lain – Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) keluar daripada pandemik Covid-19 selepas memenuhi semua tiga petunjuk peralihan fasa.
Pulau Pinang juga yakin akan memasuki Fasa 2 minggu depan.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan empat fasa PPN pada 15 Jun, sehari sebelum Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas dengan Yang di-Pertuan Agong mengenai keadaan semasa pandemik Covid-19 di tengah perintah darurat.
Di bawah pelan itu, ekonomi Malaysia akan dibuka kembali secara bertahap berdasarkan tiga petunjuk iaitu jumlah kes jangkitan Covid-19 harian, penggunaan sistem kesihatan di ICU dan jumlah penduduk yang disuntik vaksin.
Sementara itu sehingga semalam, seramai 8.8 juta penduduk sudah menerima vaksin di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, lebih 2.5 juta penduduk atau 7.8% populasi sudah divaksin sepenuhnya sementara 6.1 juta penduduk atau 19.2% sudah menerima dos pertama mereka.
Namun statistik yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 menunjukkan Selangor mempunyai peratusan terendah dari jumlah populasi yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 setakat tengah malam semalam.
Data menunjukkan Selangor menyuntik 5.2% daripada keseluruhan penduduknya, berada di belakang di negeri kedua terendah adalah Sabah dengan 5.8% dan ketiga Johor dengan 7.1%.
Seramai 16.3% penduduk di negeri ini sudah menerima dos pertama mereka. – 4 Julai, 2021.

Komen