Nasib peniaga Selangor, KL makin teruk kerana PKPD, kata kumpulan industri


Bernard Saw

Pelaksanaan PKPD di Kuala Lumpur dan Selagor beri kesan lebih buruk kepada peniaga apabila banyak sektor tidak penting ditutup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Julai 2021.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) di kawasan bandar dan perindustrian utama di Selangor serta beberapa bahagian di Kuala Lumpur akan memberi kesan yang lebih buruk lagi kepada peniaga, kata kumpulan industri.

PKPD yang bermula semalam hingga 16 Julai mungkin menyebabkan lebih banyak sektor tidak penting ditutup, kata Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM).

Pengerusi Jawatankuasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Koong Lin Loong berkata, sekatan bersasar sebaliknya harus dilaksanakan di lokasi dan kluster yang tepat di mana kes Covid-19 tinggi.

“Kita perlu melihat data Covid-19 di mana kes yang lebih tinggi. Kita tidak boleh menguatkuasakan sekatan di semua kawasan yang akan memperburukkan lagi perniagaan,” kata Koong.

Presiden Dewan Perniagaan & Perindustrian Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCCCI) Ng Yih Pyng berkata, perniagaan di Selangor sudah terjejas di bawah PKP sepanjang Jun.

“Sekarang PKPD memburukkan lagi keseluruhan ekonomi,” kata Ng.

Oleh kerana sekatan pada Jun tidak berkesan dalam mengendalikan pandemik Covid-19, beliau berkata saringan dan vaksinasi adalah pendekatan yang lebih baik untuk membolehkan perniagaan dibuka semula.

“Vaksinasi adalah satu-satunya jalan keluar, dan kerajaan harus mempercepatkan program vaksinasi.

“Syarikat sedia bekerjasama. Selagi kerajaan dapat memberikan vaksin, komuniti perniagaan dapat bekerjasama. Apabila imuniti kelompok dapat dicapai, maka kita akan melihat jumlah kes menurun,” katanya.

Kilang-kilang dibenarkan beroperasi di bawah PKP sementara di bawah PKPD, hanya kilang-kilang yang berada dalam sektor penting sahaja dapat meneruskan operasi.

Ng berkata Selangor sebagai pusat ekonomi negara harus diberi keutamaan untuk vaksinasi, dan usaha imunisasi kebangsaan di negeri ini diselesaikan secepat mungkin.

Koong menganggap situasi sekarang hanya “separuh terkawal” dan bersetuju bahawa vaksinasi perlu ditingkatkan.

Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata kerajaan menyasarkan untuk memastikan 10% penduduk menerima dua dos vaksin pada pertengahan Julai.

Beliau berjanji akan meningkatkan vaksinasi apabila Malaysia akan menerima 12 juta dos vaksin pada Julai berbanding 8 juta dos yang diberikan sejak permulaan program imunisasi pada akhir Februari hingga 30 Jun.

Kerajaan juga melancarkan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) untuk memvaksinasi pekerjaan perusahaan pembuatan

Sehingga 2 Julai, 7.5% penduduk sudah menerima dua dos vaksin sementara 18.7 menerima satu suntikan. – 4 Julai 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen