Kedai gunting rambut, pusat cuci kereta dibuka di kawasan Fasa 2, kata Ismail Sabri


Raevathi Supramaniam

Kedai gunting rambut antara premis yang dibenarkan beroperasi di kawasan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2021.

KEDAI gunting rambut, kedai buku dan alat tulis serta kedai cuci kereta dibenarkan dibuka di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan keselamatan itu berkata, walaupun kegiatan ekonomi dan sosial diberi kelonggaran sedikit di kawasan Fasa 2, namun mereka harus terus mematuhi prosedur operasi standard bagi mengekang penyebaran Covid-19.

“Perjalanan rentas negeri dan daerah masih tidak dibenarkan di kawasan ini kecuali bagi guru serta pelajar yang sedang membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

“Pasangan suami isteri juga akan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah bagi tujuan kecemasan dengan kelulusan polis,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Putrajaya hari ini. 

Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis telah menepati tiga indikator yang dinyatakan dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN) untuk beralih ke Fasa 2 pada 5 Julai.

Ismail Sabri berkata, pasangan suami isteri boleh melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah untuk tujuan kecemasan seperti kelahiran anak atau mengunjungi anak sakit.

Pasar pagi di kawasan Fasa 2 juga akan dibenarkan dibuka.

“Mereka hanya boleh menjual sayur-sayuran, buah-buahan, bahan asas makanan, ayam, makanan laut dan daging lembu,” katanya.

Kegiatan sukan tanpa sentuhan seperti jogging, tai chi, berbasikal, papan luncur, berkuda, mendaki dan golf antara yang dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Beliau menambah bahawa perkhidmatan penting di kawasan-kawasan tersebut dapat beroperasi pada kapasiti 80% dengan langkah-langkah penjarakan sosial dilaksanakan. – 3 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen