PUTRAJAYA perlu bagi bantuan tunai bulanan kepada keluarga berpendapatan rendah yang sedang berjuang untuk terus bertahan semasa pandemik agar dapat elak dari jatuh miskin, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata makin ramai rakyat hidup di bawah garis kemiskinan ketika pandemik ini.
“Kita usulkan setiap keluarga B60 diberikan RM1,500 sebulan… untuk bagi makanan asas kepada keluarga. Sekurang-kurangnya RM1,500 ini boleh meredakan sedikit daripada tekanan yang mereka hadapi.
“Begitu ramai orang yang jatuh di bawah garis kemiskinan sampai tidak ada lagi B40, sebaliknya B60 sekarang ini,” kata Anwar dalam sidang media maya di Facebook petang ini.
Anwar mentakrifkan kumpulan B60 sebagai mereka yang tidak mempunyai simpanan besar dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh bertindak sebagai penyelamat jika pendapatan isi rumah mereka terjejas teruk.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, selagi sekatan pergerakan penuh dilaksana, bantuan sekali sahaja tidak akan cukup tetapi suntikan tunai langsung untuk tempoh ini dapat membantu orang ramai.
Tambahnya pakej bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan selama ini tidak mencukupi.
Putrajaya setakat ini telah mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM530 bilion sejak bermulanya pandemik.
Awal minggu ini perdana menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan ekonomi Pemulih bernilai RM150 bilion.
Sorotan utama pakej Pemulih adalah moratorium pinjaman enam bulan untuk semua, subsidi upah buat majikan, pengeluaran sehingga RM5,000 dari KWSP di bawah skim i-Citra, dan bantuan tambahan kepada perusahaan kecil dan sederhana serta mereka dalam sektor pelancongan, sukan dan seni kreatif.
Anwar berkata, kajian turut menunjukkan rakyat dengan pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan telah turun 20% gaji mereka sepanjang sekatan pergerakan.
“Kami dapati sekurang-kurangnya 15 juta orang, atau lima juta isi rumah telah terjejas dengan pandemik. Ini mewakili 50% penduduk, 85% daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.
Kata Anwar, dengan membenarkan orang mengeluarkan simpanan persaraan mereka hanya akan melambatkan perkara yang tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan orang hanya menyimpan sekitar RM10,000 dalam akaun KWSP mereka.
Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan mendedahkan 42% ahli KWSP mempunyai simpanan kurang dari RM10,000 di Akaun 1 sementara 9.3 juta mempunyai kurang dari RM10,000 di Akaun 2.
“Malaysia negara terburuk di Asia dalam menangani pandemik ini, walaupun ada sekatan pergerakan.”
Menurut Senarai Kebingkasan Covid untuk bulan Jun oleh Bloomberg yang diterbitkan semalam, Malaysia berada di kedudukan 51 dari 53 negara.
Peringkat Covid Resilience Bloomberg untuk bulan Jun diterbitkan semalam, Malaysia berada di kedudukan 51 dari 53 negara yang disenaraikan mengikut kemajuan membuka semula ekonomi ketika pandemik Covid-19. – 30 Jun, 2021.
Komen