Malaysia di tangga corot senarai pemulihan Covid-19, lapor Bloomberg


MALAYSIA duduk di tangga corot dalam senarai kemajuan 53 negara membuka semula ekonominya di tengah krisis pandemik Covid-19, lapor Bloomberg.

Senarai Kebingkasan Covid bagi Jun menempatkan Malaysia di tangga ke-51, hanya di atas Filipina dan Argentina.

Senarai itu mengukur kemajuan pemulihan 53 negara yang mempunyai saiz ekonomi lebih daripada AS$200 bilion.

Menurut Bloomberg, kemajuan pembukaan semula adalah elemen baharu yang diperkenalkan dalam senarai itu, yang tidak dimasukkan pada Januari lepas, ketika Malaysia berada di tangga ke-16.

Laporan yang terbit semalam bertajuk The Best And Worst Places to Be as The World Finally Reopens.

Dalam tempoh dua minggu tahun ini, Malaysia merekodkan antara 2,000 hingga 3,000 kes baharu Covid-19 setiap hari, manakala keseluruhan kematian pula tidak lebih 500 orang.

Pentadbiran Muhyiddin Yassin mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat pada 11 Januari.

Sejak itu, kes Covid-19 terus meningkat sehingga pernah mencecah lebih 9,000 kes sehari.

Sepanjang enam hari berturut-turut sehingga semalam, Malaysia mengesan kes baharu dalam lingkungan 5,000 sehari sementara jumlah kematian sudah melebihi 5,000 orang.

Senarai Bloomberg antara lain melihat kemudahan pergerakan masuk dan keluar negara serta pemulihan sektor penerbangan.

Ia juga melihat kadar suntikan vaksin penduduk, sekatan pergerakan, kapasiti penerbangan dan laluan perjalanan mereka yang sudah disuntik vaksin.

Petunjuk ini melonjakkan kedudukan beberapa negara yang sebelum ini corot, antara Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah. – 29 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen