Azmin ada ‘matlamat tersirat’ tawar Gombak kepada Dr Mahathir, kata PAS


Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki mengatakan Gombak akan jatuh kepada PAS jika berlaku pertandingan tiga penjuru, sesuatu yang ditakuti Azmin Ali (kiri) kerana itu ia ditawarkan kepada Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

TINDAKAN Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menawarkan kerusi Gombak kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad mempunyai “matlamat tersirat”, dakwa Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Mohd Zuhdi Marzuki.

Zuhdi dilaporkan berkata Azmin takut kalah di Gombak dan lebih rela Dr Mahathir tewas di kerusi itu.

“Saya tak tahu apa matlamat tersirat Datuk Seri Azmin untuk dia melepaskan kerusi Gombak.

“Cuma saya boleh sebut bahawa kerusi Gombak tidak selamat bagi PKR berdasarkan kita punya kajian dan analisis apabila berlaku tiga penjuru,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

“Bila dia sendiri tidak selamat, saya yakin Dr Mahathir lagi tak selamat, sebab pengundi Gombak ini adalah pengundi urban (bandar).

“Mereka yang melalui reformasi dulu, mereka yang pernah mengikuti zaman Dr Mahathir, mereka yang banyak tertekan kerana nampak apa yang berlaku (ketika era Dr Mahathir).

“Jadi kalau Dr Mahathir bertanding di sini (Gombak) ia adalah usaha untuk menggagalkan Dr Mahathir menjadi perdana menteri,” katanya selepas sebuah majlis di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak hari ini.

PAS mahukan kerusi Gombak selepas perpisahannya dengan Pakatan Rakyat dan PKR.

Pada 3 Disember lalu, Azmin dilaporkan sedang mengintai kerusi Shah Alam yang kini dipegang Khalid Samad dari Amanah. Kerusi itu diserahkan untuk ditandingi Amanah dalam rundingan pembahagian kerusi PH Persekutuan yang dimuktamadkan dua minggu lalu.

Azmin juga bimbang PKR akan kehilangan Selangor jika berlaku pertandingan tiga penjuru dan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri.

Daripada 13 kerusi PKR di Selangor, lima mempunyai majoriti nipis kurang 5% daripada margin – Ijok (51.3%), Taman Medan (53.9%), Kota Anggerik (54%), Batu Tiga (54.1%) dan Batu Caves (55%).

Selain Ijok (48% Melayu), empat kerusi lain mempunyai antara 60% dan 70% pengundi Melayu.

Sama juga dengan kerusi Bukit Antarabangsa milik Azmin dan Sri Setia yang dipegang exco Nik Nazmi Nik Ahmad juga hanya mempunyai 6.4% dan 6.2% margin untuk menang. Bukit Antarabangsa mempunyai 56% pengundi Melayu sementara 51% di Sri Setia.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Azmin menang mengalahkan calon Barisan Nasional Raman Ismail dengan majoriti 4,734 atau hanya 4.4% daripada jumlah undi. – 14 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen