Azmin bimbang PKR terjejas jika bertanding 3 penjuru


Chan Kok Leong

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dikatakan bimbang peluang PKR terjejas teruk pada PRU14 jika berlaku pertandingan tiga penjuru di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2017.

KEENGGANAN Mohamed Azmin Ali menggantikan Pakatan Rakyat (PR) dengan Pakatan Harapan (PH) dipercayai kerana mengharap untuk mengelak pertandingan tiga penjuru yang akan menyebabkan PKR terjejas teruk pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pada mesyuarat tertutup dengan kira-kira 20 Adun Selangor pada petang Khamis, menteri besar Selangor itu menjelaskan mengapa beliau mahu mengekalkan PR walaupun ia sudah hampir tidak berfungsi.

Sumber yang turut serta dalam mesyuarat diadakan saat akhir itu memberitahu The Malaysian Insight Azmin mahu mengekalkan saluran komunikasi terbuka dengan PAS bagi mengelak pertandingan tiga penjuru di negeri itu pada PRU.

“Beliau berkata DAP paling kurang terjejas kerana hampir semua kerusi mereka di kawasan bandar.

“Tetapi PKR mungkin paling banyak terima kekalahan jika pertandingan tiga penjuru berlaku di Selangor. Kebanyakan kerusi PKR di kawasan separa bandar atau luar bandar,” kata sumber itu.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menjelaskan kebimbangannya tidak terhad kepada pembangkang di peringkat persekutuan saja kerana beliau turut mempertimbangkan kesan kepada PKR dan hubungannya dengan PAS.

Ketika ditanya rancangan Azmin untuk menangani masalah PAS di Selangor, sumber itu berkata: “Beliau hanya mahu membiarkan saluran terbuka supaya ada ruang perbincangan.”

“Dan sehingga kompromi dicapai dengan PAS mengenai perkara ini, kita semua perlu memenangi hati akar umbi PAS.”

Sebelum ini, PAS Selangor berkata ia mahu bertanding di 45 kerusi di Selangor pada PRU akan datang.

Sumber itu berkata Azmin juga tidak memberitahu bagaimana beliau merancang untuk menangani kebimbangan Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kecuali berkata akan cuba dan membantu mereka mendapatkan lebih banyak kerusi untuk bertanding.

Amanah Selangor mendesak Azmin berhenti memikat PAS untuk membentuk pakatan pilihan raya di Selangor sebelum beliau mengejutkan ramai pada Rabu dengan berkata PR masih wujud di negeri itu walaupun PAS menarik diri daripada PR dan penubuhan PH peringkat negeri sedang dibuat.

Susulan kenyataannya, beberapa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua mengkritik pengumuman Azmin berhubung isu itu menerusi sosial media.

Pada program berasingan pada Khamis, seorang Adun PKR yang enggan dinamakan memberitahu The Malaysian Insight mengapa Azmin perlu menyelesaikan isu PR/PH di Selangor dengan teliti dan berhati-hati.

“Lihat kerusi saya sebagai contoh. Saya Cuma menang dengan beberapa ribu undi pada PRU13. Jika PAS berpaling daripada kami, majoriti undi saya akan jatuh.

“Dan jika BN masuk bertanding saat akhir, saya mungkin boleh hilang kerusi saya,” katanya.

Daripada 13 kerusi PKR di Selangor, lima mempunyai majoriti nipis kurang 5% daripada margin – Ijok (51.3%), Taman Medan (53.9%), Kota Anggerik (54%), Batu Tiga (54.1%) dan Batu Caves (55%).

Selain Ijok (48% Melayu), empat kerusi lain mempunyai antara 60% dan 70% pengundi Melayu.

Sama juga dengan kerusi Bukit Antarabangsa milik Azmin dan Sri Setia yang dipegang exco Nik Nazmi Nik Ahmad juga hanya 6.4% dan 6.2% margin untuk menang. Bukit Antarabangsa mempunyai 56% pengundi Melayu sementara 51% di Sri Setia.

Jadi, jika PAS berpecah di kerusi berkenaan dengan pertandingan tiga penjuru, PKR boleh kalah dalam perlawanan sengit itu.

PR ialah mandat PRU13

Seorang lagi sumber berkata Azmin memberitahu Adun daripada Amanah, DAP dan PKR yang beliau hanya menghormati permintaan pengundi untuk PR terus memerintah di Selangor.

“Beliau beritahu kami PR diberikan mandat pada PRU13 untuk mentadbir Selangor. Dan itu apa yang beliau hendak buat sehingga PRU akan datang,” kata sumber.

Mengenai bekerjasama dengan PAS, sumber itu berkata Azmin berharap PAS Selangor berbeza dan kompromi untuk mengelak pertandingan tiga penjuru dapat diwujudkan.

“Beliau percaya PAS Selangor cukup bebas dan ada pendirian sendiri, tanggungjawab dan cita-cita. Azmin kata hakikatnya ialah pemenang jika berlaku tiga penjuru ialah Barisan Nasional,” kata sumber.

Mesyuarat itu bermula jam 5 petang dan berakhir dua jam kemudian. Antara yang hadir ialah exco Elizabeth Wong, Amirudin Shari, V Ganabatirau dan Teng Chang Khim serta Adun Ng Suee Lim, Saari Sungib, Dr Idris Ijok, Gan Pei Nei, Yeo Bee Yin, Lee Kee Hiong, Rodziah Ismail, Ng Sze Han, Hasnul Baharuddin, Tiew Way Keng, Lee Nyuk Lan, Dr Xavier Jeyakumar, Hannah Yeoh dan Shuhaimi Shafiei. – 8 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen