PARLIMEN sedia bersidang sebelum 1 Ogos ini seperti titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, kata speaker kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Dalam satu kenyataan bersama, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim berkata mereka telah menyampaikan kesediaan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, semalam.
“(Kami) telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku,” kata mereka dalam kenyataan, hari ini.
Titah pandangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata mereka.
“Dicadangkan kepada YAB Perdana Menteri agar satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos 2021 mengikut peruntukan-peruntukan undang-undang sedia ada,” tambah mereka.
Kenyataan dikeluarkan susulan majlis mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam yang berlangsung atas titah Baginda Tuanku.
Majlis mengadap semalam disertai dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnoon dan Azalina Othman Said, serta Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Mohamad Ali Mohamad.
Menurut Azhar dan Rais, Al-Sultan Abdullah semalam menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos.
Semalam, Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah sekali lagi memberi pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin bagi membolehkan perisytiharan darurat dan ordinan darurat dapat dibentangkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin menjelaskan pandangan itu adalah tindakan “sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan dan Parlimen Malaysia.
“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Fadil.
Titah nasihat Al-Sultan Abdullah itu mengulangi titah sama pada 16 Mei lalu selepas perbincangan khas baginda dengan Raja-Raja Melayu mengenai keadaan semasa negara di tengah krisis Covid-19.
Ketika itu, Raja-Raja Melayu menyokong titah Al-Sultan Abdullah agar Parlimen bersidang segera, malah menitahkan perkara sama untuk dewan-dewan undangan negeri.
Al-Sultan Abdullah juga pada 24 Februari bertitah Parlimen boleh bersidang ketika perintah darurat berjalan. – 30 Jun, 2021.
Komen