Muhyiddin akan diyakinkan Parlimen bersidang sebelum 1 Ogos, lapor media


Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim dilaporkan berkata sidang khas Parlimen itu dicadang diadakan selama lima hari, secara fizikal dan nanti disusuli dengan persidangan secara hibrid pada hujung Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2021.

YANG di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim akan meyakinkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang khas Parlimen sebelum 1 Ogos ini, lapor Utusan Malaysia.

Persidangan segera itu dititah nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa menerima mengadap speaker dan timbalan speaker kedua-dua dewan Parlimen, semalam, katanya.

“Kami akan berbincang de­ngan perdana menteri untuk melihat tarikh yang terbaik. Tapi ditekankan Agong supaya tidak boleh lewat daripada jangkaan. Kita akan cuba meyakinkan perdana menteri supaya persidangan dapat diadakan sebaiknya sebelum 1 Ogos ini,” katanya, seperti dipetik oleh akhbar itu.

Rais juga dipetik berkata sidang khas itu dicadang diadakan selama lima hari, secara fizikal dan nanti disusuli dengan persidangan secara hibrid pada hujung Ogos.

“Kita harus ingat Agong adalah ketua mercu Parlimen dan perdana menteri adalah Ketua Majlis, perlu memberi petua kepada speaker untuk menjalankan majlis persidangan. 

“Namun, dengan adanya titah Tuanku, perdana menteri pun perlu memberi penghormatan dan penjelasan yang wajar.

“Setakat ini kami sudah mengutus kepada Pejabat Perdana Menteri. Ia ada dua pilihan, sama ada hantar sahaja surat kepada kami tentang tarikh persidangan khas atau bermesyuarat untuk menentukannya dengan pihak berkaitan,” kata Rais.

Semalam, Istana Negara memaklumkan Al-Sultan Abdullah sekali lagi memberi pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin bagi membolehkan perisytiharan darurat dan ordinan darurat dapat dibentangkan mengikut Perlembagaan.

Titah nasihat disampai kepada Rais dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang dipanggil mengadap baginda, bersama dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnoon dan Azalina Othman Said, serta Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Mohamad Ali Mohamad.

Istana Negara juga memaklumkan Al-Sultan Abdullah berpandangan semua jawatankuasa pilihan Parlimen ke-14 perlu terus bermesyuarat untuk menjalankan peranan semak dan imbangnya.

Titah nasihat Al-Sultan Abdullah itu mengulangi titah sama pada 16 Jun lalu selepas perbincangan khas baginda dengan Raja-Raja Melayu mengenai keadaan semasa negara di tengah krisis Covid-19.

Ketika itu, Raja-Raja Melayu menyokong titah Al-Sultan Abdullah agar Parlimen bersidang segera, malah menitahkan perkara sama untuk dewan-dewan undangan negeri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin menjelaskan pandangan dan seruan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu itu adalah tindakan mereka “sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.”

Al-Sultan Abdullah juga pada 24 Februari bertitah Parlimen boleh bersidang ketika perintah darurat berjalan. – 30 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen