Kempen burukkan Zahid tak ke mana, kata Ahmad Jazlan


Salhan K. Ahmad

Serangan ke atas kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi dalam Umno tak akan beri pengaruh besar sekarang, kata Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2021.

SERANGAN digerakkan ke atas Ahmad Zahid Hamidi pada waktu ini tidak akan meraih pengaruh besar dalam parti, kata Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahli Parlimen Machang itu percaya kempen berkenaan hanya bertujuan memburuk-burukkan presiden Umno itu.

“Mereka tak akan ke mana. Ahli-ahli Umno memerhatikan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahmad Jazlan berkata, beliau tidak menyokong kempen tersebut dan bukan salah seorang daripada 25 ahli Parlimen Umno yang didakwa menolak kepemimpinan Zahid sebagai presiden parti.

“Letih dah dengan puak ini,” kata Ahmad Jazlan lagi.

Seramai 25 ahli Parlimen itu didakwa menyokong seorang lagi Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein, untuk mengambil alih kerajaan sebagai perdana menteri.

Dakwaan itu terkandung dalam surat didakwa menggunakan kepala surat Barisan Nasional (BN) untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan permohonan itu.

Seramai 25 ahli Parlimen itu didakwa menyokong seorang lagi Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein, untuk mengambil alih kerajaan sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2021.

Kandungan surat serta usaha berkenaan dinafikan Hishammuddin dan perkara juga disiasat polis selepas Istana Negara membuat laporan mengenai dakwaan pemalsuan cap penerimaan.

Seorang pemimpin kanan Umno, Nazri Aziz tampil mengaku bertanggungjawab mengatur usaha mengumpul surat akuan bersumpah ahli Parlimen BN untuk menyokong Hishammuddin.

Katanya, kempen itu bertujuan menolak kerjasama yang didakwa diusahakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, dakwanya.

Kempen tersebut bagaimanapun ditepis Ahmad Zahid yang menganggapnya sebagai perkara karut seperti “cerita kartun”.

Nazri seterusnya mendakwa ditipu Ahmad Zahid yang menurutnya merancang dan mengarahkan ahli Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN pada Januari.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu mendakwa beliau turut menarik sokongan, sepertimana dilakukan Ahmad Jazlan, namun mendakwa tertipu kerana Ahmad Zahid tidak melakukan perkara sama.

Seorang pemimpin kanan Umno, Nazri Aziz tampil mengaku bertanggungjawab mengatur usaha mengumpul surat akuan bersumpah ahli Parlimen BN untuk menyokong Hishammuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2021.

Dakwaan tersebut dinafikan Ahmad Jazlan yang menegaskan perkara itu tidak pernah diarahkan Ahmad Zahid dan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno.

“Tidak,” kata Ahmad Jazlan ringkas semasa diminta mengesahkan dakwaan itu.

Beliau mengulangi kenyataannya bahawa tindakan menarik sokongan terhadap kerajaan PN itu dibuat demi maruah parti dan tidak melibatkan arahan sesiapa.

Tambahnya, perkara itu dijelaskannya kepada perwakilan sewaktu Perhimpunan Agung Umno pada 28 Mac lalu.

“Saya tidak dipengaruhi sesiapa. Presiden tidak ada telefon saya. Timbalan tidak telefon saya. Saya rapat dengan Najib, sepatah pun tidak ada arahan.

“Saya buat demi maruah parti,” katanya dalam ucapan sewaktu persidangan tersebut.

Wakil Istana Negara membuat laporan polis berkaitan surat yang kononnya ditulis Menteri Luar Hishammuddin Hussein untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan jumlah sokongan Ahli Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2021.

Pengumumannya pada 9 Januari itu menyebabkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dalam keadaan genting kerana hanya menguasai 110 kerusi.

Susulan itu, Muhyiddin berjaya memperoleh perkenaan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksana perintah darurat bermula 11 Januari, yang antara lain menyebabkan sidang Parlimen digantung.

Nazri kemudian menarik balik sokongan terhadap PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 12 Januari.

Keputusan untuk  menarik sokongan ke atas kerajaan PN kemudian dibuat secara rasmi oleh Umno dalam perhimpunan parti itu pada Mac lalu.

Perhimpunan tersebut juga memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, parti DAP dan juga dengan Bersatu.

Umno juga pada waktu itu mengumumkan akan membuat jajaran baharu dalam usahanya untuk bertanding pilihan raya umum ke-15 tanpa kerjasama dengan Bersatu.

Dalam masa sama, pembangkang PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) pula membayangkan mengenai kerjasama dipanggil “khemah besar” dalam pilihan raya itu.

Perkembangan itu menimbulkan andaian akan berlaku kerjasama di antara Umno dan Pakatan Harapan.

Dakwaan mengenai agenda berkenaan menjadi kebimbangan pemimpin Umno, terutama selepas bocor rakaman audio didakwa menunjukkan pakatan politik sulit ketua parti mereka dengan Anwar.

Dakwaan mengenai usaha Zahid melakukan kerjasama dengan Anwar juga diuar-uarkan seorang anggota Majlis Kerja Teringgi Umno, Zahidi Zainul Abidin.

Timbalan menteri penerangan dalam Kabinet Muhyiddin Yassin itu mendakwa Zahid bertindak demikian kerana gagal menjadi timbalan perdana menteri.

Zahidi dalam satu laporan portal pro-Umno Agendadaily berkata, usaha tersebut membelakangi ketetapan parti untuk tidak bekerjasama dengan Anwar.

Pada masa sama, beliau mengakui usaha untuk menaikkan Hishammuddin itu benar-benar dijalanbkan bagi menghalang usaha Zahid menjalin kerjasama dengan Anwar.

Katanya, langkah itu dibuat dengan melantik menteri luar itu menjadi jurucakap sekiranya parti itu akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong. – 27 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen