Vaksinasi dahulu, daftar kemudian untuk selamatkan nyawa, kata Dzulkefly


Raevathi Supramaniam

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara paling penting sekarang adalah memberi suntikan dengan kadar segera bagi mengurangkan risiko jangkitan dan kematian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Jun, 2021.

MALAYSIA perlu memberi vaksin terlebih dahulu dan mendaftar kemudian kerana keutamaan sekarang adalah mengawal penularan Covid-19, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) itu berkata, perkara paling penting sekarang adalah memberi suntikan dengan kadar segera bagi mengurangkan risiko jangkitan dan kematian.

“Semakin lambat kita buat, semakin banyak kematian kita akan hadapi di negara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Saranannya itu sama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang turut mengesyorkan agar rakyat terus divaksinasi terlebih dahulu, bukannya mendaftar dahulu.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata penggunaan MySejahtera untuk pendaftaran hanya bersifat birokratik malah semua orang boleh divaksinasi hanya dengan membawa kad pengenalan mereka untuk tujuan merekod data dalam sistem.

Hari ini Malaysia melaporkan 5,841 jangkitan baharu Covid-19 dengan 84 kematian. Beban keseluruhan negara kini 716,847. Selangor paling tinggi dengan 235,120 kes. Jumlah kematian keseluruhan negara pula sebanyak 4,721 orang.

Dr Dzulkefly turut menyarankan kerajaan meyediakan vaksin mencukupi di negeri-negeri dengan pendaftaran yang tinggi.

“Kita perlu tengok persediaan vaksin untuk negari-negari dengan permintaan tinggi (pendaftaran tinggi) kerana ada orang yang sedang menunggu untuk divaksinasi.

“Sarawak telah mencatatkan lebih banyak vaksinasi akhir-akhir ini, sekali gus meningkatkan jumlah kebangsaan. Negeri-negeri lain juga perlu diberi vaksin yang mencukupi untuk buat perkara sama,” katanya.

Walaupun Selangor negeri paling ramai penduduk, namun hanya 11.2% penduduk atau 731,294 orang sahaja telah divaksin manakala 3.6% atau 237,622 orang telah melengkapkan proses vaksinasi.

Bagaimanapun, negeri ini tidak mendapat bekalan vaksin yang mencukupi. 

Pada 8 Jun, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa nisbah pemberian dos vaksin sebanyak lebih 615,000 pada masa ini tidak adil berbanding keseluruhan penduduk di Selangor yang berjumlah 6.5 juta orang.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada awalnya berkata negeri itu menerima 2.9 juta dos vaksin sedangkan pada 8 Jun ia hanya menerima 615,210 dos.

Kemudian disahkan bahawa 2.9 juta dos itu disimpan di kemudahan kerajaan dan di gudang pengedar yang terletak di Selangor untuk diedarkan di seluruh negara.

Dr Dzulkefly berkata, semakin lambat negara beri vaksin, semakin berisiko rakyat untuk dijangkiti, malah sumber kesihatan negara juga akan terbeban.

“Makin kita lambatkan, makin kita letak rakyat dalam risiko, malah makin lama kita akan ambil masa untuk kawal Covid-19 di Malaysia - termasuk runtuhnya sistem kesihatan, keupayaan ICU (unit rawatan rapi) selain jumlah kematian yang sangat membimbangkan.”

Tambahnya usaha vaksinasi harus terus dipertingkatkan dan selain perlu meliputi barisan hadapan ekonomu dan pekerja asing untuk memastikan bila negara dibuka semula, kita akan lebih selamat.

Awal bulan ini, Khairy Jamaluddin, menteri penyelaras program imunisasi kebangsaan berkata barisan hadapan ekonomi akan diberi vaksin pada fasa empat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk mengekang penyebaran koronavirus melalui kluster tempat kerja.

Negara ini secara aktif berusaha memberi 200,000 dos setiap hari, dengan tujuan mencapai sasaran 300,000 sehari pada Ogos. Jumlah terkumpul semasa adalah 6.56 juta, di mana 4.75 juta orang telah menerima dos pertama, sementara 1.8 juta orang telah melengkapkan dua dos.

Dalam Pelan Pemulihan Negara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang diumumkan minggu lalu, negara akan dibuka secara berfasa bergantung kepada penurunan jumlah jangkitan harian, peningkatan peratusan penduduk yang telah divaksin dan sistem penjagaan kesihatan tidak lagi kritikal. – 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen