Jumlah suntikan vaksin Covid-19 harian capai sasaran lebih 200,000 dos


Wanita dari masyaraat Orang Asli menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Orang Asli di Gombak, Selangor.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Jun, 2021.

JUMLAH suntikan dos vaksin Covid-19 yang diberi semalam terus mencapai sasaran harian melebihi 200,000, iaitu 252,730 dos, menurut infografik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (​JKJAV) di Twitter.

Daripada jumlah itu, 174,448 adalah dos pertama dan 78,325 adalah dos kedua.

Sasaran vaksinasi harian akan dinaikkan kepada 300,000 suntikan sehari pada Ogos.

Jumlah kumulatif terkini suntikan yang diberikan adalah 6.56 juta, yag mana 4.75 juta adalah dos pertama manakala 1.8 juta orang telah menerima suntikan dos kedua.

Ini menjadikan 14.5% penduduk di negara ini telah menerima dos pertama dan 5.5% telah melengkapkan vaksinasi mereka dengan dua dos.

Tiga negeri yang merekodkan kadar vaksinasi tertinggi adalah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perlis.

Di Kuala Lumpur, 46.5% penduduk atau 825,010 orang telah menerima dos pertama dan 8.9% atau 157,393 orang menerima dos kedua.

Sementara itu di Putrajaya 32.3% atau 35 475 orang teah menerima dos pertama dan 20.9% atau 22,957 orang menerima dos kedua.

Di Perlis 24% atau 61,172 orang telah menerima dos pertama dan 13.1% atau 33,455 telah menerima dos kedua.

Selangor yang mempunyai penduduk paling ramai hanya mencatatkan 11.2% atau 731,294 orang menerima dos pertama. Hanya 3.6% atau 237,622 telah melengkapkan vaksinasi.

Manakala di negeri lain hanya antara 10% hingga 13% penduduk menerima dos pertama dan antara 5% hingga 7% menerima dua dos.

Sabah merupakan negeri yang mencatatkan kadar vaksinasi terendah iaitu hanya 9% penduduk atau 349,910 orang menerima dos pertama. Hanya 3% daripada penduduknya telah melengkapkan dos vaksinasi.

Sarawak mencatatkan 27.5% atau 775,906 orang yang menerima dos pertama dan 6.7% atau 189, 280 orang menerima dos kedua.

Labuan yang mempunyai jumlah penduduk yang kecil mencatatkan 29.5% atau 29,395 orang yang menerima satu dos dan 3.8% atau 13,746 orang yang menerima dos kedua. – 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen