Polis ambil keterangan 3 peguam berhubung komen terhadap ketua hakim


Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat melalui pegawai khasnya telah membuat laporan polis pada 7 Jun lalu berhubung dakwaan seorang peguam yang membuat kenyataan tidak senonoh dan boleh menjejaskan imej badan kehakiman. Hari ini polis telah mengambil keterangan tiga peguam berhubung perkara tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2021.

POLIS telah merakam keterangan tiga peguam berhubung kenyataan yang dibuat terhadap Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Wan Yusoff berkata, kenyataan mereka telah diambil pada semalam dan Ahad.

“Ketiga-tiga mereka diklasifikasikan sebagai saksi kerana siasatan masih dijalankan,” katanya seperti dipetik laporan Free Malaysia Today.

Pada 15 Jun, Kamarul berkata polis sedang menyiasat seorang peguam kanan yang dikatakan membuat kenyataan tidak senonoh terhadap badan kehakiman.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat oleh pegawai khas kepada Tengku Maimun pada 7 Jun lalu.

Sehingga kini, polis telah menyoal tujuh orang berhubung kes itu.

Kamarul berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 504 undang-undang yang sama kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Kedua-dua kesalahan tersebut boleh membawa kepada hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Polis juga sedang menyiasat kejadian tersebut mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana didakwa menggunakan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang membawa denda RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Menurut laporan tersebut, peguam itu didakwa mengirim beberapa pesanan teks kepada klien asing, dengan merujuk kepada ketua hakim. – 22 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen