JAWATANKUASA bagi memperhalusi aspek penting sebelum sidang Parlimen hanyalah taktik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk berlengah, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP itu berkata Muhyiddin sepatutnya segera memanggil Parlimen bersidang seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu minggu lalu.
“Tidak ada apa-apa untuk dikaji…. Jika Muhyiddin tidak bersedia untuk melakukannya, ini menunjukkan beliau tidak ikhlas untuk mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil semula sidang Parlimen.
“Bahkan Jawatankuasa Khas bagi Parlimen hibrid kini dilihat sebagai taktik penangguhan dan muslihat politik untuk mengetepikan proses Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin semalam dipetik Bernama berkata satu jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.
Katanya, kerajaan antara lain perlu mengambil kira sama ada persidangan boleh diadakan secara fizikal, dan sama ada pelaksanaan secara hibrid selari adalah dengan peruntukan di dalam Peraturan Majlis Mesyuarat.
Jawatankuasa tersebut dibentuk selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempengerusikan persidangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Rabu bertitah Parlimen perlu bersidang segera.
Raja-Raja Pemerintah juga sependapat perintah darurat tidak perlu diteruskan selepas 1 Ogos ini.
Lim seterusnya berkata Parlimen perlu dipanggil bersidang terlebih dahulu supaya Peraturan Mesyuarat boleh dipinda bagi membolehkan sidang secara maya dilakukan.
“Mesyuarat fizikal Parlimen boleh diadakan dalam notis biasa 28 hari yang diberikan atau jangka masa yang lebih pendek beberapa hari sebagaimana yang diputuskan oleh Perdana Menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 11 Parlimen.
“Sekiranya Muhyiddin dengan degil menolak untuk berbuat demikian, ahli Parlimen mungkin tidak mempunyai pilihan selain terpaksa merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan kuasa Baginda di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat 2021 untuk memanggil semula Parlimen,” katanya menambah ordinan itu menyatakan “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.
Terdahulu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa sidang Parlimen dipanggil sebelum 4 Julai ini demi menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah,” kata Zahid dalam satu kenyataan hari ini. – 21 Jun, 2021.
Komen