Perikatan gagal sediakan bekalan vaksin mencukupi, kata Anwar


Ravin Palanisamy Diyana Ibrahim

Mereka buat kenyataan rambang yang cuba mengelirukan rakyat, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional gagal menguruskan pandemik Covid-19 di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) gagal menyediakan bekalan vaksin Covid-19 mencukupi untuk rakyat, kata Anwar Ibrahim, yang menyifatkannya sebagai kegagalan terbesar pentadbiran sekarang.

Presiden PKR itu juga berkata kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengelirukan rakyat dengan kadar vaksinisasi kebangsaan yang sedang berjalan sekarang.

“Kegagalan paling besar kerajaan adalah penyediaan vaksin yang secukupnya.

“Mereka buat kenyataan rambang, ikut selera politik untuk cuba…saya tidak mahu cakap menipu tetapi mengelirukan rakyat. Kerana satu hari 75,000, satu hari lagi 100,000, hari lain pula 200,000…tapi jauh daripada unjuran kita.

 “Jika ini berterusan, wujud kemungkinan yang kita tak akan mampu selesaikan masalah sampai hujung tahun ini,” kata Anwar dalam ucapan pembukaan Kongres Nasional Tahunan PKR ke-15, diadakan dalam talian hari ini.

Kerajaan menetapkan sasaran suntikan 200,000 dos vaksin sehari menjelang Julai dan berjaya mencapainya selama tiga hari minggu ini, tetapi sejak semalam dan hari ini, ia gagal dicapai.

Hujung Mei lalu, Muhyiddin berkata Malaysia perlu menyuntik 200,000 hingga 300,000 dos vaksin sehari untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

Anwar hari ini turut berkata kerajaan mengelirukan rakyat tentang jumlah kes harian Covid-19.

Setakat 19 Jun, 5.67 juta dos sudah disuntik di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2021.

Menurutnya, jumlah saringan dan kes baru Covid-19 harian sepatutnya dilaporkan bersama supaya perkaitannya tidak mengelirukan rakyat.  

“Saya telah sebut perkara ini berulang kali. Ia menunjukkan ujian (Covid-19) akan menentukan jumlah kes positif.

“Kita pernah buat 128,000 ujian dan saringan (pada satu ketika) di mana kes (dilaporkan) sekitar 9,000 dan hampir 10,000.

“Tetapi sekarang ujian dikurangkan, jadi kes pun akan berkurangan. Tetapi (ini) mengelirukan (dan) ini tidak membantu sebab data dan sains mesti diketengahkan.”

Tambahnya lagi, kematian kerana Covid-19 yang dilaporkan juga adalah isu besar yang perlu diberi perhatian.

Memetik angka kematian yang dilaporkan semalam (19 Jun), Anwar berkata hampir separuh korban adalah mereka yang berusia bawah 60 tahun.

Katanya lagi, jumlah mereka yang dibawa ke hospital selepas meninggal dunia juga besar, serta ramai mangsa bukan pesakit penyakit kronik.

Setakat semalam, 5.67 juta dos sudah disuntik di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. 

Daripada jumlah itu, 4.08 juta atau 12.5% menerima dos pertama, dan 1.59 juta orang sudah menerima kedua-dua dos.

Infografik JKJAV dikeluarkan di Twitter hari ini tidak menyertakan peratusan populasi yang sudah menerima dos kedua, tetapi berdasarkan angka diberikan ia berada pada tahap 4.86%. – 20 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen