3 negeri Pakatan sedia bersidang DUN seawal Ogos


Diyana Ibrahim

Tiga negeri ditadbir Pakatan harapan sedia untuk mengadakan sidang DUN seawal Ogos ini, tertakluk perkenan Yang di-Pertuan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2021.

TIGA negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) – Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan –  sedia untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seawal Ogos ini, tertakluk perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata pemimpin negeri.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mereka akan segera mendapatkan perkenan untuk membolehkan DUN masing-masing bersidang segera.

Speaker DUN Selangor dan Negeri Sembilan juga berkata mereka sedia untuk melaksanakan persidangan sekiranya ditetapkan demikian.

Di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kuasa memanggil sidang DUN ada pada Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Raja atau Yang di-Pertua Negeri berkenaan.

Speaker DUN Selangor Ng Suee Lin memberitahu The Malaysian Insight pihaknya sedia bersidang seawal Ogos ini apabila darurat tamat. 

Beliau yang juga Adun Sekinchan berkata persiapan itu juga sedang dibincangkan dengan menteri besar, sebelum disembah maklum kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kita akan bincang dapat perkenan daripada Sultan Selangor untuk tarikh persidangan DUN yang terdekat.

“Kita akan bersiap sedia dan buat persiapan untuk teruskan sidang DUN,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Jelas Ng, persidangan itu diharap dapat diadakan pada pertengahan atau hujung Ogos.

“Saya akan utus surat kepada Tuanku untuk maklumkan persiapan sementara menteri besar akan mengadap Tuanku untuk bincang hal-hal ini,” katanya.

Semalam, Amirudin dalam satu kenyataan berkata perancangan untuk persidangan DUN Selangor secepat mungkin dibincangkan dengan speaker DUN dan akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor.

Beliau menjelaskan kepada The Malaysian Insight perkara itu kemudian akan dipersembahkan untuk perkenan Yang diPertuan Agong.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam satu kenyataan semalam berkata perancangan untuk persidangan DUN Selangor secepat mungkin dibincangkan dengan speaker DUN dan akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2021.

Chow pula dalam satu kenyataan berasingan berkata Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang akan menulis kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan persidangan DUN.

Langkah itu dibuat susulan titah nasihat Raja-Raja Pemerintah pada Rabu yang sepakat berpendirian DUN perlu bersidang segera, sama seperti Parlimen yang dititah nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Nasihat itu dititah selepas Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas dengan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai keadaan semasa negara yang terus berdepan penularan tinggi Covid-19 selepas lima bulan darurat.

Darurat yang menggantung sidang Parlimen dan DUN berjalan sejak 11 Januari dan ditetapkan berakhir pada 1 Ogos.

Raja-Raja Pemerintah juga menitahkan pandangan tenpoh itu tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Sementara itu, Speaker DUN Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar turut memberitahu The Malaysian Insight pihaknya juga sedia untuk melaksanakan persidangan secepat mungkin.

“Kita memang hendak buka DUN tetapi sebab darurat kita tak boleh buat, bukan kita tak nak… kita nak. 

“Apabila Raja-Raja Melayu sudah bertitah demikian, kita akan buka DUN secepat mungkin,” katanya.

Raja-Raja Melayu kelmarin bertitah mekanisme semak dan imbang cabang kerajaan mesti dihormati untuk menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab terhadap rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng awal minggu ini dipetik berkata Majlis Presiden PH dalam mesyuaratnya yang terakhir setuju supaya tiga negeri yang ditadbir parti itu memanggil sidang DUN masing-masing pada Ogos.

DUN Pahang pada 25 Mei lalu menghebahkan kepada semua wakil rakyat negeri bahawa ia akan bersidang dari 16 hingga 60 Ogos, sekiranya perisytiharan darurat tidak disambung selepas 1 Ogos.

Pekeliling kepada Ahli DUN Pahang itu meminta mereka mengemukakan soalan-soalan yang hendak ditanya kepada pihak kerajaan semasa persidangan nanti.

Semalam, Menteri Besar Johor Hasni Mohamad juga berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan sidang DUN segera seperti yang dititah nasihat oleh Raja-Raja Melayu. – 18 Jun, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen