DUN Johor sedia bersidang segera, kata Hasni


Menteri Besar Johor Hasni Mohamad berkata negeri itu sedia adakan DUN dengan segera seperti dititah nasihat Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – Gambar Facebook, 17 Jun, 2021.

JOHOR sedia untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera, seperti yang dititah nasihat oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam pendirian bersama Raja-Raja Melayu, semalam, kata Menteri Besar Hasni Mohamad.

Hasni berkata pihak kerajaan negeri sedang mencari tarikh yang sesuai, selepas darurat tamat pada Ogos ini.

“Proklamasi Darurat akan tamat pada bulan Ogos. Sehubungan itu, kerajaan negeri Johor akan mengenal pasti tarikh yang sesuai supaya persidangan DUN Johor dapat dijalankan segera.

“Malah kerajaan negeri Johor bersedia untuk mengadakan persidangan DUN dengan segera seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Hasni menjadikan Johor negeri kedua yang menyatakan kesediaan membuka semula DUN yang tidak bersidang sejak perisytiharan darurat lima bulan lalu.

Awal hari ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan perancangan pihaknya untuk mengadap Sultan Selangor secepat mungkin untuk perkenan pelaksanaan sidang DUN.

Menurut Hasni, pentadbirannya sentiasa menjunjung tinggi proses dan amalan demokrasi.

“Cara Johor sejak dulu lagi amat menekankan aspek permuafakatan,” katanya, yang menerajui negeri selepas percaturan politik menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Hasni baru-baru ini mempengerusi perbincangan khas dengan wakil rakyat Parlimen dan negeri Johor mengenai pengurusan pandemik Covid-19 dan kesannya kepada rakyat dan ekonomi negeri.

Sesi itu diadakan atas titah Sultan Johor, yang mahu wakil rakyat negeri itu berperanan walaupun Parlimen dan DUN tidak bersidang.

Semalam, Raja-Raja Pemerintah menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu Parlimen bersidang segera dan menzahirkan pandangan sama untuk semua dewan undangan negeri.

Raja-Raja Pemerintah berpandangan mekanisme semak dan imbang cabang kerajaan mesti dihormati untuk menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab terhadap rakyat.

Sidang DUN digantung sama seperti Parlimen selepas perisytiharan darurat di seluruh negara berkuat kuasa 11 Januari lalu sehingga 1 Ogos ini.

Selepas perbincangan khas dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam, Raja-Raja Melayu juga bertitah tempoh darurat itu tidak perlu dilanjutkan.

Perbincangan khas semalam, yang menyentuh keadaan semasa negara sejak darurat lima bulan lalu, diadakan atas permintaan Al-Sultan Abdullah selepas baginda mendengar pandangan 18 ketua parti politik. – 17 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen