PELAN Pemulihan Negara tidak ada hala tuju strategi untuk mengatur semula ekonomi, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mengenai pelan pemulihan Covid-19 diumumkan Perdana Menteri semalam.
Sementara disambut kerana memberikan “lebih kepastian mengenai fasa membuka semula ekonomi”, pelan itu tidak ada hala tuju untuk ekonomi dan bantuan untuk perniagaan yang terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ini, kata Presiden FMM Soh Thian Lai.
Pelan itu sepatutnya turut membantu sektor penting dan bukan penting, tambahnya.
“FMM telah menggesa kerajaan menjana ekonomi untuk tujuan pelaburan (pump prime) dan meminta lebih dana dalam Pakej Rangsangan termasuklah suntikan fiskal terus dan juga langkah khusus yang dapat membantu mengurangkan kesan terhadap perniagaan yang terjejas,” kata Soh dalam satu kenyataan hari ini.
Empat fasa pelan pemulihan diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam telah mengundang kritikan kerana tidak berapa tepat mengenai bagaimana ekonomi dan punca pendapatan dapat dipulihkan.
Pelan itu merangkumi empat fasa bagaimana PKP penuh akan dilonggarkan secara beransur-ansur, mengikut indikator yang ditetapkan. Tiga indikator utama itu adalah jumlah kes harian Covid-19; kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU); dan kadar vaksinasi.
Hari ini Soh berkata kerajaan perlu mengumumkan terlebih dahulu senarai sektor ekonomi penting yang akan dibuka dalam Fasa 2 pelan pemulihan.
“Ini bagi membenarkan sektor-sektor tersebut merancang strategi kelangsungannya memandangkan sudah lama tidak beroperasi sehingga mempengaruhi perniagaan mereka,” katanya.
Negara ketika ini berada dalam PKP penuh dan hanya dapat memasuki fasa kedua sekatan yang lebih longgar setelah kes harian jangkitan Covid-19 menurut ke bawah 4,000.
PKP penuh hanya membenarkan sektor penting sahaja beroperasi bermula pada 1 Jun dan akan tamat pada 28 Jun depan.
Soh berkata perniagaan memerlukan petunjuk jelas tentang bila mereka dapat kembali beroperasi.
Beliau juga menunjukkan masih belum ada strategi jelas untuk memvaksinasi pekerja asing tanpa dokumen, walaupun kadar vaksinasi merupakan salah satu indikator dalam pelan pemulihan tersebut. – 16 Jun, 2021.
Komen