PKP penuh selamatkan Malaysia daripada bencana, kata Muhyiddin


Chan Kok Leong

Menurut Muhyiddin, sekatan pergerakan penuh fasa pertama sejak 1 Jun lalu telah menunjukkan trend melandai dengan 4,949 kes dicatat semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei 2021, iaitu kes harian tertinggi sejak Covid-19 melanda. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Jun, 2021.

MALAYSIA terlepas daripada malapetaka, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, apabila melaksanakan sekatan penuh pergerakan sejak 1 Jun lalu.

Keputusan itu berjaya mengurangkan peningkatan kes jangkitan baharu Covid-19 selain lebih ramai pesakit dapat disembuhkan, katanya.

“Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil. 

We have avoided a catastrophe (Kita sudah mengelak daripada bencana),” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung melalui televisyen petang ini.

Menurut Muhyiddin, sekatan pergerakan penuh fasa pertama sejak 1 Jun lalu telah menunjukkan trend melandai dengan 4,949 kes dicatat semalam berbanding 9,020 kes pada 29 Mei 2021, iaitu kes harian tertinggi sejak Covid-19 melanda.

Beliau juga menjelaskan kes jangkitan harian Covid-19 boleh mencecah sehingga lebih 13,000 sehari berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan sekiranya langkah campur tangan itu tidak ambil.

Jika itu berlaku, kata Muhyiddin, seluruh sistem kesihatan negara akan runtuh. 

Muhyiddin menyampaikan perutusan khas petang ini untuk mengumumkan pelan pemulihan negara keluar daripada pandemik.

Perutusan khas itu dibuat tidak lama selepas beliau selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Pelan pemulihan empat fasa itu menjanjikan Parlimen dibuka semula pada fasa ketiga, yang dijangka boleh dicapai pada September atau Oktober, kata Muhyiddin.

Parlimen digantung selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat berkuat kuasa sejak 11 Januari lalu. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen