Kes Covid-19 semalam rendah sebab ujian kurang, kata pakar kesihatan


Ravin Palanisamy

Rakyat perlu ambil perhatian dengan jumlah kes harian yang menurun bila ujian kurang, kata pakar. – Gambar EPA, 15 Jun, 2021.

RAKYAT Malaysia tidak sepatutnya selesa dengan jumlah kes Covid-19 rendah semalam kerana ianya disebabkan jumlah ujian saringan yang sedikit.

Semalam negara melaporkan 4,949 kes baharu Covid-19, pertama kali kes turun di bawah 5,000 sejak 27 hari lalu.

Kali terakhir Malaysia mencatat kes di bawah 5,000 adalah pada 18 Mei, dengan 4,865 kes dilaporkan.

Bagaimanapun, data Kementerian Kesihatan menunjukkan hanya 70,044 ujian dilakukan setakat semalam, jumlah paling rendah bulan ini.

Sepanjang lima hari pertama bulan Jun, Malaysia membuat lebih 100,000 ujian setiap hari, dan jangkitan harian baharu ketika itu melebihi 7,000 kes.

Pakar kesihatan berkata penurunan jumlah ujian itu membimbangkan kerana mungkin memberi gambaran berbeza kepada orang ramai.

Ketua Eksekutif Galen Centre for Health & Social Policy Azrul Mohd Khalib berkata perlu perbanyakkan ujian tanpa mengambil kira jumlah jangkitan harian.

“Kami ingatkan, Malaysia perlu kekalkan ujian ditahap tinggi dan ia tidak boleh dipengaruhi oleh hujung minggu atau cuti umum.

“Kenyataan bahawa jumlah kes harian kita menurun bila ujian kurang perlu jadi perhatian.

“Ini juga menunjukkan ujian kita masih belum berada di tahap sepatutnya. Ujian perlu dikekalkan ditahap tinggi tanpa mengira kes naik atau jatuh,” katanya kepada Malaysian Insight.

Pakar Perunding Kanan Pediatrik Dr Amar Singh HSS berkata melalui Twitter, kes harian semalam mungkin akan lebih tinggi jika banyak ujian dibuat.

“Tak perlu raikan 4,949 kes yang dilaporkan.

“Positiviti ujian tinggi pada 7.07% dan jumlah ujian sangat rendah pada 70,004,” katanya di Twitter semalam.

Malaysia menyaksikan penurunan kes sejak empat hari terakhir ini, dengan semalam paling rendah.

Dalam ciapan terbaharu di Twitter, Dr Amar berkongsi grafik statistik mengatakan jumlah kes Covid-19 boleh cecah 7,000 jika 100,000 ujian dibuat semalam.

Malaysia membuat 90,238 ujian pada 12 Jun (5,793 kes positif), 80,130 ujian pada 13 Jun (5,304 kes positif), sementara 70,044 ujian semalam (4,949 kes positif).

Sebaliknya, Dr Amar berkata, jika angka ujian diselaraskan menjadi 100,000 dalam tiga hari terakhir ini, ia akan menunjukkan trend menaik kerana kadar positiviti, di mana pada 12 Jun kes adalah pada 6,420, 13 Jun pada 6,620 dan 14 Jun pada 7,060 kes.

Dr Amar berkata jumlah harian akan lebih masuk akal jika jumlah ujian dan kadar positiviti turut dikongsikan.

Menyokong dakwaan Dr Amar, Azrul berkata ujian juga penting untuk pengesanan awal virus.

Katanya rawatan boleh dibuat lebih awal dan nyawa dapat diselamatkan.

“Hari ini kita lihat lebih ramai orang dalam kategori 3, 4 dan 5 dibawa ke hospital.

“Ini kerana orang tidak dapat rawatan awal daripada yang sepatutnya. Ia secara langsung berkait dengan ujian.

“Jika orang tahu status mereka lebih awal, mereka dapat dapatkan rawatan lebih awal. Jika mereka dapatkan rawatan lebih awal, kemungkinan besar akan selamatkan nyawa mereka,” katanya.

Azrul juga bersetuju jumlah kes dapat menurun disebabkan oleh sekatan pergerakan penuh, menambah kes akan naik jika sekatan pergerakan ditarik.

“Penting bagi kita untuk sedar Malaysia pada bulan Jun 2020 dan hari ini tidak sama,” katanya menambah negara ini melaporkan lebih 5,000 kes setiap hari dalam keadaan sekatan pergerakan. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen