Kes Covid-19 kurang 5,000, pertama kali sejak 18 Mei


Ravin Palanisamy

Kali terakhir Malaysia mencatat kes di bawah 5,000 adalah pada 18 Mei, dengan 4,865 kes dilaporkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2021.

BUAT pertama kalinya dalam tempoh 27 hari, Malaysia melaporkan kes harian Covid-19di bawah angka 5,000 apabila mencatatkan 4,949 jangkitan baharu hari ini.

Kali terakhir Malaysia mencatat kes di bawah 5,000 adalah pada 18 Mei, dengan 4,865 kes dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes dilaporkan hari ini menyaksikan  Lembah Klang mempunyai 2,026 jangkitan.

Selangor terus mencatat jumlah kes terbanyak di antara negeri dengan 1,523 kes, diikuti Sarawak dengan 744 kes dan Kuala Lumpur 503 kes.

Kes baharu di Selangor mengekalkannya di kedudukan teratas bagi jumlah keseluruhan dengan 216,482 kes. Ia menyaksikan perbezaan ketara berbanding Kuala Lumpur yang berada di tangga kedua dengan 67,719 kes dan Sabah 66,316 kes.

Semua negeri lain juga melaporkan kes baru mulai tengah hari ini.

Selain itu, setakat malam tadi, sebanyak 4,490,270 dos vaksin sudah diberikan.

Daripada jumlah itu, 3,132,304 individu menerima dos pertama, sementara 1,357,966 individu sudah melengkapkan dos kedua. – 14 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen