Darurat tidak perlu disambung lagi, kata Khalid Samad


Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat Khalid Samad berkata pihaknya akan mengirim sepucuk lagi surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan hajat memohon perkenan mengadap bagi menyampaikan memorandum dan petisyen menolak darurat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2021.

DARURAT tidak perlu disambung lagi sebaliknya harus ditamatkan segera dan Parlimen bersidang semula, kata Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat Khalid Samad.

Jawatankuasa itu menolak sebarang formula yang akan menyebabkan darurat disambung lagi, katanya. 

Ahli Parlimen Shah Alam tidak menyebut secara langsung formula berkenaan tetapi dipercayai merujuk idea pembentukan sebuah pentadbiran sementara seperti Majlis Gerakan Negara selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang diketengahkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad beberapa hari lalu.

“Jawatankuasa kami percaya bahawa darurat perlu ditamatkan dengan seberapa segera dan Parlimen perlu bersidang semula supaya sistem semak-dan-imbang institusi demokratik negara dikembalikan.

“Jawatankuasa juga telah membuat keputusan menolak sebarang formula yang akan menyebabkan darurat disambung lagi. 

“Kami sedar bahawa kuasa yang lebih luas tidak boleh diberikan kepada mana-mana badan yang dibentuk di luar proses demokratik ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Dr Mahathir menjelaskan cadangan badan yang beliau namakan Majlis Pemulihan Negara bukan hendak menggantikan kerajaan tetapi beroperasi sementara untuk memulihkan ekonomi dan mengurangkan kes jangkitan Covid-19.

“Kewujudan majlis ini akan tamat apabila negara mencapai imuniti kelompok atau sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

“Majlis ini diperlukan untuk memasti keputusan pelan tindakan untuk membantu rakyat dapat dibuat dengan segera dan dilaksanakan tanpa melalui terlalu banyak proses birokrasi,” kata Dr Mahathir, dalam satu tulisan di blognya semalam.

Cadangan Dr Mahathir sebelum ini ditolak oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan melalui satu kenyataan bersama tiga pemimpin parti komponennnya PKR, Amanah dan DAP.

Dr Mahathir mendedahkan cadangannya itu, yang beliau sampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong semasa mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Khamis.

Dr Mahathir Mohamad semalam berkata cadangan badan yang beliau namakan Majlis Pemulihan Negara bukan hendak menggantikan kerajaan, tetapi beroperasi sementara untuk memulihkan ekonomi dan mengurangkan kes jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2021.

Tulis surat lagi

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya akan mengirim sepucuk lagi surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan hajat memohon perkenan mengadap bagi menyampaikan memorandum dan petisyen menolak darurat.

Ia surat susulan daripada surat pertama, yang diutuskan pada 20 April lalu, katanya.

Pada 22 April lalu, Khalid berkata pihak Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuang Agong berkenan menerima anggota jawatankuasa itu mengadap tetapi tarikhnya belum ditetapkan.

Al-Sultan Abdullah sejak Rabu lepas menerima mengadap ketua-ketua parti politik dalam Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, selain PAS, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), serta Dr Mahathir yang juga ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dr Mahathir minggu lalu berkata beliau menulis sepucuk surat kepada Yang di-Pertuan Agong yang kemudian dalam balasannya menyatakan perkenan untuk menerima beliau mengadap selain ketua-ketua parti politik yang lain.

Majlis mengadap itu diteruskan esok dengan giliran empat ketua parti dalam Gabungan Parti Sarawak yang diatur secara persidangan video, sebelum Raja-Raja Melayu mengadakan persidangan khas di Istana Negara pada Rabu.

Persidangan Khas itu akan membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat sejak lima bulan lalu, kata Istana Negara. – 13 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen