AHLI Majlis Tertinggi Umno Noh Omar meminta Takiyuddin Hassan menjelaskan peranan sebenar jawatankuasa khas bebas darurat selepas menteri itu berkata Jemaah Menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk menyambung atau menamatkan darurat.
“Kalau Yang di-Pertuan Agong bertindak untuk sambung atau tamatkan darurat atas nasihat Kabinet, soalan saya kepada menteri kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua?” tanyanya dalam satu komen di Facebook.
Semalam, Takiyuddin berkata tidak timbul soal budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan sama ada darurat yang sepatutnya berakhir pada 1 Ogos disambung atau tidak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata perkara itu akan dinasihatkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Jemaah Menteri, sama seperti ia menasihati perisytiharannya pada 11 Januari lalu.
Menurut Noh, kenyataan Takiyuddin menghina ahli jawatankuasa khas bebas darurat yang pelantikannya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Adakah menteri merujuk kepada kenyataan perdana menteri mengenai peranan jawatankuasa bebas darurat?
“Saya minta menteri jelaskan apa sebenarnya peranan jawatankuasa bebas darurat ini,” katanya.
Takiyuddin berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengenai pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sekiranya darurat diangkat.
Kenyataannya dibidas oleh beberapa ahli politik antaranya Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said yang menyifatkan Takiyuddin “mengalihkan tiang gol” dalam soal penentuan darurat.
Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria dibentuk mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat 2021 dan dianggotai 19 orang.
Ia mempunyai mandat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai tarikh darurat sekiranya perlu ditamatkan lebih awal sebelum 1 Ogos.
Jawatankuasa itu sudah beberapa kali bermesyuarat tetapi sehingga ini belum membuat sebarang kenyataan mengenai perbincangannya dan tidak juga diketahui sama ada sudah mengangkat sebarang laporan kepada Seri Paduka.
Kelmarin, ahli sains politik Dr Chandra Muzaffar berkata jawatankuasa itu harus membentangkan laporannya dalam masa yang terdekat dan mesti dibahaskan di Parlimen selewat-lewatnya pertengahan Julai.
Laporan jawatankuasa itu katanya harus jadi panduan kepada Jemaah Menteri dan Yang di-Pertuan Agong mengenai langkah seterusnya untuk menangani penularan Covid-19 dan kesan pandemik. – 13 Jun, 2021.
Komen