PERSEKUTUAN Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) telah meminta kerajaan mengadakan pakej rangsangan bernilai RM200 bilion, dengan suntikan fiskal langsung RM30 bilion ke dalam ekonomi bagi membantu pengeluar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mungkin terjejas teruk akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP3.0).
Presiden FMM Soh Thian Lai berkata dengan hampir 80 peratus daripada semua perniagaan termasuk ke dalam sektor tidak penting yang tidak dibenarkan beroperasi dan dengan hanya kapasiti operasi 60 peratus yang dibenarkan bagi sektor penting, lanjutan sekatan ini pasti akan melumpuhkan keseluruhan sektor pembuatan dan rantaian bekalan global yang terkait dengannya.
“Dengan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mula beroperasi pada kapasiti penuh, adalah penting bahawa Malaysia, sebagai hab pembuatan utama, menyokong pasaran ini sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global mereka.
“Lanjutan PKP penuh ini juga dibimbangi akan memberi kesan negatif yang mendalam terhadap pelaburan, terutamanya pelaburan langsung asing serta menjauhkan pelabur asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Soh menegaskan bantuan kewangan langsung di bawah Pemerkasa Tambahan dalam bentuk lanjutan satu bulan Program Subsidi Upah 3.0, yang diwujudkan bagi pekerja tempatan; moratorium pinjaman automatik selama tiga bulan untuk individu dan PKS serta pengecualian levi Pembangunan Sumber Manusia selama sebulan hanya memberi kesan yang agak minima dalam membantu kebanyakan syarikat pembuatan.
Bantuan tersebut tidak akan dapat mengekalkan hayat industri untuk sepanjang tempoh lanjutan dan selepas sekatan.
Oleh itu, beliau berkata industri memerlukan dana bantuan yang besar untuk meningkatkan pemulihannya bagi mengelakkan negara terjebak dalam kemelesetan terburuk yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.
Sementara itu, FMM memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), di bawah Fasa 4 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang akan bermula pada 16 Jun 2021.
“Kami berharap kadar vaksinasi harian di bawah PIKAS dapat ditingkatkan kepada 300,000 sehari melalui Pusat Pentadbiran Vaksin dan kenderaan suntikan vaksin mudah alih.
“Di samping itu, kerajaan juga perlu mempercepatkan ujian besar-besaran di seluruh negara sebagai sebahagian daripada protokol Ujian, Jejak dan Rawat,” katanya. – Bernama, 12 Jun, 2021.
Komen