NAMPAKNYA perbalahan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan seterunya dalam Parti Rakyat Bersatu (UPP) kelihatan seperti tidak berkesudahan.
Namun tidak bagi pengerusi Barisan Nasional Sarawak Abang Johari Openg yang optimistik bahawa dua parti itu akan mencapai titik temu sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Rundingan sedang berterusan. Buat masa ini saya tak boleh jelaskan apa yang dirunding,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi BN hari ini.
Menurut sumber, isu dan persoalan mengenai calon langsung yang dinamakan BN di beberapa wilayah ada dibangkitkan tetapi “tidak dibincangkan secara mendalam.”
Perebutan kerusi antara dua parti itu timbul setelah BN meletakkan “calon langsung.”
Tambah sumber itu lagi, ketua menteri telah memberi “petunjuk besar” kepada presiden SUPP Dr Sim Kui Hian yang hadir bagi menyelesaikan perbalahan “tanpa menimbulkan kerumitan.”
Bagaimanapun, presiden UPP Wong Soon Koh tidak hadir kerana partinya bukan anggota BN.
“Secara asasnya dia beri mereka masa untuk selesaikan masalah ini sebelum dia masuk campur,” kata sumber itu.
Perbalahan itu sering menjadi isu bagi BN negeri bila pilihan raya, walaupun Sim dan Wong berada dalam kabinet “BN tambahan” Abang Johari.
UPP yang pro-BN ditubuhkan oleh pemimpin dan ahli yang bersependapat dengan Wong yang kalah dalam Persidangan Perwakilan Tiga Tahun (TDC) Sekali ke-22 pada Disember 2011.
Wong yang bertanding untuk presiden bagi menggantikan Dr George Chan berkata, terdapat ketaksekataan dalam beberapa pemilihan cabang menjelang TDC.
Justeru, beliau memfailkan aduan pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Bagaimanapun pada 2014, RoS tidak menemui sebarang ketaksekataan dan memutuskan untuk tidak menyahdaftarkan parti itu. Berikutan itu, Wong dan penyokongnya, termasuk beberapa Adun meletakkan jawatan.
BN akhirnya mengambil keputusan menyelesaikan perbalahan dua parti itu dengan mengadakan polisi “calon langsung BN.” Calon yang dipilih sendiri oleh majlis tertinggi BN.
Pun begitu, ketika penggulungan TDC bulan lalu, SUPP menyatakan pendirian menentang polisi itu melalui kenyataan timbalan presiden SUPP Richard Riot.
Riot yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, polisi itu “konsep yang gagal” kerana bertentangan dengan tujuan asal BN yang mengutamakan semangat berpasukan.
“BN utamakan semangat berpasukan. Kalau awak tak termasuk dalam pasukan, awak tak termasuk dalam BN.
“Konsep calon langsung BN bertentangan dengan semangat kepasukanan. Sebab itulah saya cakap BN tak boleh pakai konsep itu,” kata Riot.
Sementara itu, perbalahan lain berkaitan kerusi antara SUPP dan UPP makin ketara apabila UPP telah menyatakan untuk meletakkan kerusi mereka di beberapa tempat termasuk kawasan kuat mereka di Sibu.
Kerusi-kerusi itu ialah Bandar Sibu, Lanang dan Sarikei, yakni setengah daripada tujuh kerusi tradisi SUPP.
Pada PRU13, SUPP kalah enam dari tujuh kerusi mereka itu. Lima jatuh ke tangan DAP manakala satu menjadi milik PKR.
Kesemua enam kerusi itu merupakan kerusi yang terdiri daripada masyarakat Cina bandar.
SUPP hanya menang di Serian, yang sebahagian besarnya merupakan kerusi Dayak. – 12 Januari, 2018.
Komen