TIMBALAN Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Richard Riot Jaem menentang polisi Barisan Nasional (BN) yang akan meletakkan “calon langsung” dalam pilihan raya akan datang.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, polisi itu “konsep yang gagal” kerana berlawanan dengan tujuan asal BN yang mengutamakan semangat berpasukan.
“BN utamakan semangat berpasukan. Kalau awak tak termasuk dalam pasukan, awak tak termasuk dalam BN.
“Konsep calon langsung BN bertentangan dengan semangat kepasukanan. Sebab itulah saya cakap BN tak boleh pakai konsep itu,” kata Riot ketika merasmikan persidangan tahunan tiga parti di Kuching, Sarawak hari ini.
Calon langsung bermaksud calon yang diputuskan oleh majlis tertinggi BN.
Dalam polisi calon langsung, BN akan menamakan calon daripada parti komponen lain atau calon tanpa parti untuk bertanding di kerusi yang diperuntukkan parti itu yang jika parti merasakan calon yang sepatutnya tidak layak bertanding.
Riot yang juga Ahli Parlimen Serian berkata, dengan menghapuskan konsep calon langsung menjelang pilihan raya umum nanti akan menyelesaikan “sekaligus” hak SUPP untuk bertanding di tujuh kerusi tradisi parti itu.
Pada pilihan raya umum 2013, SUPP hilang enam kerusi daripada tujuh kerusi. Lima kerusi itu ditakluk DAP, dan satu oleh PKR.
Kesemua enam kerusi itu merupakan kerusi yang terdiri daripada masyarakat Cina bandar.
SUPP hanya menang di Serian, yang sebahagian besarnya merupakan kerusi Dayak.
Oleh kerana kekalahan itulah yang menimbulkan rasa tidak senang hati yang BN akan meletakkan calon langsung, selain kerana sebahagian ahli telah menyertai parti pro BN Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang diketuai oleh bekas setiausaha agung SUPP Wong Soon Koh.
Walaupun bersetuju jika semua calon yang dipilih menang di tujuh kerusi itu, tambah Riot, calon-calon itu mestilah sertai SUPP. Ini dilihat sebagai cadangan yang akan “memanaskan punggung” calon yang diambil dari UPP.
Tanpa menyebut nama calon itu, Riot berkata, sehingga hari ini “kami hanya ada seorang pemegang kerusi yang masih tak berparti, yang bermaksud tak mempunyai haluan dan tak terikat dengan taat setia terhadap mana-mana permainan (parti).
Kenyataannya itu mendapat sokongan kuat daripada delegasi cawangannya.
“Ini apa yang kami mahu awak cakapkan. Awak pemimpin sebenar,” kata salah seorang ahli SUPP.
Dalam pada itu, kedudukan Riot sebagai timbalan presiden tidak tercabar memandangkan lima jawatan tertinggi parti itu juga tidak dipertandingkan. – 22 Disember, 2017.
Komen