Guan Eng selar berita tak tepat, persoal wartawan


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi penerangan mengenai projek terowong dan tiga lebuh raya di Komtar, Pulau Pinang. Dalam masa sama, beliau menyelar media milik Barisan Nasional yang memutar belit kenyataannya. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

KETUA Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengecam laporan berita tidak tepat yang bertujuan untuk mencemar reputasi negeri itu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pejabat kerajaan dan syarikat yang berkait dengan projek terowong bawah tanah awal minggu ini.

Untuk kali kedua dalam minggu ini, beliau menyelar akhbar The Star (yang berkait dengan Barisan Nasional), Utusan Malaysia dan New Straist Times (NST) mengenai laporan yang tidak tepat berhubung kenyataannya tentang projek itu.

Pagi ini, Guan Eng mendakwa Utusan kerana menerbitkan “laporan palsu” yang pejabat beliau di aras 28 “ditutup sementara.”

“Utusan laporkan pejabat Ketua Menteri ditutup sementara kerana mengikut arahan (SPRM). Pejabat saya tak ditutup pun.

“Lewat tengah hari, saya ada mesyuarat. Saya jumpa (presiden Amanah) Mohamad Sabu dan (setiausaha agung dan penasihat strategik ketua menteri) Saifuddin Nasution Ismail mengenai Mutiara Food Bank.

“Awak fikir yang saya akan buat mesyuarat terbuka? Malah tiada seorang pun pembantu saya bercakap dengan Utusan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, khabar angin tercetus bahawa pgawai SPRM akan melawat pejabat GUan Eng untuk membantu siasatan. Ramai pemberita menunggu sekitar Komtar, namun tiada seorang pun yang terjumpa pegawai SPRM.

Beberapa pembantu di pejabat Guan Eng memberitahu The Malaysian Insight yang mereka juga mendengar desas-desus itu namun tiada sesiapa mendengar atau nampak kelibat pegawai SPRM.

Dalam pada itu, Guan Eng sekali lagi mengkritik The Star berkaitan laporan akhbar itu pada Rabu bahawa kerajaan negeri telah meluluskan pra-penjualan tanah bernilai RM3 bilion kepada syarikat kenderaan istimewa yang mengambil alih projek terowong itu.

Projek itu merupakan sebahagian daripada pelan pengangkutan yang melibatkan tiga lebuh raya.

“Saya beritahu The Star semalam sebagai bukti. Tetapi mereka diam. Tak lama lagi orang akan baca akhbar itu.

“Tipu. Ketua Menteri Pulau Pinang cakap awak penipu tapi awak tak jawab balik. (Awak) tak ada nilai moral,” katanya.

Guan Eng, juga dalam masa sama menyelar NST dengan berkata, kenyataannya telah diselewengkan walaupun beliau telah menjelaskan mengenai projek itu dalam sidang medianya semalam.

Tambahnya, NST telah menerbitkan laporan Bernama di akhbar itu hari ini dengan memetik beliau sebagai berkata bahawa kerajaan negeri telah membayar kajian kebarangkalian untuk tiga lebuh raya melalui pertukaran tanah bernilai RM208 juta. – 12 Januari, 2018.

[Baca berita penuh di sini]


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • bila kena dekat batang hidung sendiri tahu nak marah & selar wartawan yg sebarkan berita tidak tepat..tp bila pihak sendiri yg sebarkan berita tidak tepat tidak mengapa..nampak sangat hipokrit dia ni..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan