Naib presiden Warisan bebas dengan ikat jamin RM55,000


Jason Santos

Naib Presiden Warisan, Peter Anthony dibebaskan hari ini selepas membayar ikat jamin RM55,000. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

NAIB Presiden Warisan, Peter Anthony dibebaskan dengan ikat jamin selepas tempoh reman tujuh harinya dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berakhir hari ini.

Majistret Afiq Agoes mengarahkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM55,000.

Anthony ditahan tiga hari bermula 6 Januari selepas notis mencarinya dikeluarkan bersama seorang peguam, Michael Ubu, berhubung dakwaan urus niaga tanah bernilai RM155 juta.

Remannya kemudian dilanjutkan empat hari lagi pada 8 Januari.

Beliau diwakili peguam Martin Tommy, manakala pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Faliq Basiruddin.

Anthony tiba di mahkamah majistret pada pukul 8 pagi tetapi dibawa masuk ke bilik mahkamah sekitar jam 9.30 pagi dan keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Beliau dilihat mengalami kesukaran menaiki tangga mahkamah.

Anthony didengari memberitahu pemberita beliau tidak berasa sihat dan mendakwa muntah beberapa kali semasa dalam tahanan.

“Saya harap dapat berjumpa dengan doktor hari ini. Saya akan membuat pemeriksaan di Hospital KPJ hari ini dan lihat bagaimana keadaannya,” katanya.

Ramai penyokong Warisan hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Ini kali kedua Anthony ditahan reman oleh SPRM.

Terdahulu, beliau ditahan oleh SPRM selama seminggu sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung penyelewengan dana projek persekutuan.

Beliau dimasukkan ke hospital pada malam Selasa kerana dehidrasi dan sakit kepala.

Ditanya mengenai keberadaan peguam yang hilang itu, Faliq berkata SPRM masih mencari. – 12 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen