Giliran PAS, MCA mengadap Agong pagi ini


Presiden MCA Wee Ka Siong pula dilihat tiba di Istana Negara pada 11.50 pagi melalui Pintu 2 dengan menaiki kereta Toyota Vellfire putih. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 10 Jun, 2021.

YANG di-Pertuan Agong hari ini menerima mengadap beberapa lagi ketua parti politik dalam majlis berasingan yang dibuat menjelang persidangan khas Raja-Raja Melayu minggu depan.

Majlis mengadap hari ini dimulakan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilapor tiba di Istana Negara di Kuala Lumpur kira-kira 10.20 pagi dengan sebuah kereta Toyota Vellfire hitam.

Beliau dilapor keluar dari Istana Negara selepas lebih sejam kemudian dan terus meninggalkan lokasi tanpa bercakap kepada petugas media.

Tuan Ibrahim dipercayai mewakili Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Selepas PAS, Presiden MCA Wee Ka Siong pula dilihat tiba di Istana Negara pada 11.50 pagi melalui Pintu 2 dengan menaiki kereta Toyota Vellfire putih, lapor Utusan Malaysia.

Petugas media hari ini pada mulanya tidak dibenarkan menunggu dekat pintu pagar istana tetapi kemudian dibenarkan oleh pihak berkuasa dengan syarat menjaga segala prosedur operasi standard membendung penularan Covid-19, lapor Malaysiakini.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad selaku presiden penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 2.30 petang dan Presiden Warisan Sabah (Warisan) Shafie Apdal pula dijangka akan mengadap Yang di-Pertuan Agong petang ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima mengadap ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan iaitu Anwar Ibrahim (PKR), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).

Mereka diterima masuk mengadap selepas mesyuarat mingguan Yang di-Pertuan Agong dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berakhir lebih kurang 9 pagi.

Pemimpin Umno dijangka akan mengadap Yang di-Pertuan Agong esok sementara ketua-ketua parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima jemputan untuk majlis mengadap melalui persidangan video pada 14 Jun ini.

Semalam, Istana Negara memaklumkan satu persidangan khas Raja-Raja Melayu akan diadakan pada 16 Jun.

Persidangan khas ini buat atas titah Yang di-Pertuan Agong bertujuan membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat sejak lima bulan lalu.

Perintah darurat yang diisytiharkan berkuat kuasa pada 11 Januari lalu dijadual berakhir pada 1 Ogos ini. – 10 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen