Tidak perlu sambung darurat, kata Najib 


Tempoh lima bulan sejak perintah darurat berjalan sudah cukup disia-siakan kerana lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada rakyat dan negara, kata bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2021.

PERINTAH darurat yang sepatutnya berakhir pada 1 Ogos ini tidak perlu disambung kerana ia tidak menyelesaikan masalah Covid-19 seperti yang diharapkan, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Tempoh lima bulan sejak perintah darurat berjalan, sejak 11 Januari lalu, sudah cukup disia-siakan kerana lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada rakyat dan negara, katanya.

“Jangan dilanjutkan lagi perkara yang tidak memberi sebarang faedah kepada negara dan hanya membawa kepada keburukan,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Najib memberikan pandangannya ketika Yang di-Pertuan Agong hari ini mula menerima mengadap ketua-ketua parti politik di Istana Negara di Kuala Lumpur, dipercayai berhubung keadaan semasa negara di tengah penularan Covid-19.

Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi berkata perbincangan mereka tidak menyentuh isu pembentukan kerajaan baharu.

Sebaliknya beliau ada membangkitkan soal darurat, kata Anwar.

“Kita merayu kepada Tuanku supaya menghalang (darurat diteruskan) tetapi Tuanku juga mengatakan (baginda) patuh pada semangat raja berperlembagaan,” katanya.

Menurut Najib, darurat lima bulan ini telah memberi kesan negatif kepada ekonomi dan pelaburan, sementara penularan Covid-19 meningkat enam kali ganda lebih parah berbanding sebelumnya.

“Dari segi ekonomi dan keadaan Covid, kerajaan hari terbukti gagal walaupun telah diberi kuasa penuh darurat selama 5 bulan dan Malaysia satu-satunya sahaja negara dalam dunia yang gantung perlembagaan dan Parlimen dengan alasan memerangi Covid.

“Sebab itu, darurat perlu ditamatkan serta merta,” katanya.

Najib mengingatkan beliau sudah memberi amaran lebih awal bahawa peruntukan undang-undang sedia ada yang membenarkan kawalan pergerakan memadai untuk mengawal penularan wabak.

Sehingga tengah hari semalam, Malaysia merekodkan keseluruhan 627,652 kes positif Covid-19 berbanding 138,224 kes pada 11 Januari, ketika perintah darurat mula berkuat kuasa.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid pada minggu ini sudah melebihi 100%.

“Ini amat membimbangkan kerana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya. – 9 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen