Hadi Awang stabil di IJN, kata anaknya


Keadaan kesihatan Abdul Hadi, yang dimasukkan ke IJN pada hujung April, jadi perhatian selepas tersebar maklumat kononnya beliau tidak sedarkan diri dan ditempatkan di unit rawatan rapi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2021.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang kini stabil di Institut Jantung Negara tetapi masih dalam pemantauan pihak doktor, kata anaknya Muhammad Khalil.

Beliau menafikan khabar angin kononnya Abdul Hadi tidak sedarkan diri dan memohon orang ramai berdoa dan menganjurkan solat hajat khusus untuk kesihatan ayahnya.

“Beliau kini berada di IJN dalam keadaan yang stabil namun masih perlukan rawatan susulan dan pemantauan oleh doktor.

“Saya turut menerima pertanyaan tentang mesej-mesej yang tersebar, kebanyakannya adalah tidak benar dan ditokok tambah,” katanya dalam satu makluman di Facebook.

Muhammad Khalil juga berkata beliau akan memaklumkan perkembangan keadaan Abdul Hadi dari masa ke masa.

Keadaan kesihatan Abdul Hadi, yang dimasukkan ke IJN pada hujung April, jadi perhatian selepas tersebar maklumat kononnya beliau tidak sedarkan diri dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Pada 28 April lepas, setiausaha politiknya Syahir Sulaiman mengesahkan Abdul Hadi menjalani rawatan susulan di IJN tetapi tidak menyebut bila dan kenapa beliau dimasukkan ke hospital.

Abdul Hadi pernah dimasukkan ke Hospital Purajaya pada 15 Februari selepas dilaporkan sesak nafas sebelum dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut.

Beliau dibenarkan keluar beberapa hari kemudian selepas menerima rawatan. – 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen