Kenapa Putrajaya lambat agih komputer riba, soal Syed Saddiq


Raevathi Supramaniam

Sekolah sudah lama ditutup tetapi komputer riba belum membuatkan ramai pelajar ketinggalan, kata Syed Saddiq (kanan).– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2021.

PUTRAJAYA wajib terangkan kenapa ambil masa lama untuk edar 150,000 tablet dan komputer riba kepada pelajar yang memerlukan bagi membantu mereka dalam pembelajaran dalam talian, kata Syed Saddiq Syed Abdullah.

Ahli Parlimen Muar itu berkata negara sedang berhadapan krisis pendidikan, ramai pelajar belum mampu ikuti pengajian kerana tidak ada peranti elektronik.

“Sekolah ditutup sepanjang tahun lalu dan sejak Mac tahun ini. Tetapi tablet dan komputer riba belum tiba?

“Para menteri memandang ringan perkara ini. Menunggu hingga akhir tahun untuk tunaikan janji mereka,” katanya.

Syed Saddiq berkata inisiatif menyediakan peranti tersebut dibentangkan dalam Belanjawan 2020 pada November tahun lalu di mana diumumkan RM150 juta diperuntukkan untuk perkara tersebut.

“Pada Januari, kerajaan kata akan percepat program ini dan pelajar akan dapat komputer riba pada Februari,” katanya.

Awal hari ini, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin mengumumkan penghantaran 12,887 komputer riba dan tablet ke 96 sekolah. Tambahnya, pengagihan 150,000 komputer riba akan selesai pada September ini.

“Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan perlu bersikap telus. Terangkan kenapa perlu ambil masa yang lama. Adakah sebab mereka tak cukup bekalan atau peruntukan (dalam belanjawan) belum diproses?

“Saya penat tunggu menteri buat kerja,” katanya.

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan mengapa kerajaan hanya menyediakan 150,000 peranti.

“Soalan yang masih tidak dijawab kerajaan Perikatan Nasional: Adakah Malaysia hanya ada 150,000 keluarga B40 dan M40 dengan ramai anak-anak yang tak mampu beli peranti?” soalnya melalui satu hantaran di Facebook.

Ahli parlimen Pekan itu berkata kerajaan gagal mengawal gelombang pandemik dalam sembilan bulan terakhir ini, menyebabkan sekolah ditutup.

“Lalu disuruh semua rakyat Malaysia termasuk golongan B40 dan M40 untuk menghadapi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tanpa peranti.” – 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen