Putrajaya edar komputer riba percuma, kata menteri pendidikan


Diyana Ibrahim

Pada pengumuman Bajet 2021 November lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sebanyak 150,000 komputer riba akan diedarkan kepada pelajar B40 di 500 buah sekolah terpilih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2021.

PENGAGIHAN 150,000 komputer riba bagi pelajar B40 menerusi inisiatif Cerdik dijangka selesai pada hujung September ini, kata Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 12,887 unit peranti itu diagihkan ke 96 buah sekolah di kawasan 51 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Katanya agihan 40,290 unit komputer riba lagi dijangka selesai pada 12 Jun dan bakinya sebanyak 96,823 unit akan diberikan pada akhir September.

“Kita dalam proses mengagihkan lebih 40,000 unit peranti komputer riba dan bakinya akan selesai akhir pada bulan September,” katanya.

Bantuan laptop percuma atau inisiatif Cerdik itu merupakan sebahagian peruntukan Belanjawan 2021 yang diumumkan kerajaan pada November tahun lalu.

Inisiatif itu melibatkan pengagihan 150,000 komputer riba kepada pelajar B40 dan institut pengajian tinggi (IPT) di bawah kendalian Yayasan Hasanah.

Sebelum ini, program itu mendapat kritikan kerana ia sepatutnya diedar pada Februari lepas.

Menjawab kritikan itu, Radzi mengakui kementeriannya telah melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan program itu namun terdapat beberapa halangan tidak boleh dielakkan.

“Kita telah ikhtiarkan untuk membekalkan komputer riba ini secepat mungkin. Tapi  keadaan yang mencabar khususnya masalah bekalan menyebabkan kita terpaksa menyusun pendekatan sedikit berbeza.

“Dan kita sudah mula agihkan peranti kita sehingga akhir September. Kita  sedar ini cabaran utama dalam konteks pelaksanaan PDPR,” katanya. 

Bagi masalah capaian Internet, Radzi berkata kerajaan sedang melaksanakan beberapa inisiatif termasuk MyDigital bagi menyelesaikan isu rangkaian Internet terutamanya di kawasan luar bandar.   – 6 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen