PKR boleh tangguh kongres hingga 30 Jun, kata MKN 


MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) hari ini menjelaskan bahawa Kongres Nasional PKR ke-15 yang dijadual esok boleh ditangguhkan sehingga 30 Jun ini.

Ketua Pengarahnya Mohd Rabin Basir berkata ia berdasarkan pandangan yang diterima parti berkenaan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkenaan perkara itu.

“Dalam satu surat dihantar kepada pengurusan PKR, MKN telah memaklumkan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan juga pandangan daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), Kongres Nasional PKR boleh dilaksanakan berdasarkan SOP yang telah ditetapkan.

“Walau bagaimanapun, oleh kerana PKR telah mendapat pandangan daripada RoS bahawa mereka boleh menangguhkan kongres mereka sehingga 30 Jun ini, MKN melihat pandangan tersebut lebih sah bergantung kepada keadaan semasa iaitu kita sedang melaksanakan sekatan pergerakan penuh,” katanya ketika dihubungi Bernama TV di Kuala Lumpur malam ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai Kongres Nasional PKR secara dalam talian esok.

Terdahulu Pengarah Kongres Nasional PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan PKR telah menerima surat daripada MKN dan makluman lisan daripada RoS, masing-masing pada jam 6.21 petang Jumaat yang mengarahkan tersebut ditangguhkan.

Tanpa memperincikan sebab persidangan berkenaan diarah ditangguhkan, Setiausaha Pengelola PKR itu berkata arahan terbaharu itu bertentangan dengan surat MKN bertarikh 27 Mei lepas menyatakan tiada halangan terhadap penganjuran kongres yang diadakan sepenuhnya dalam talian.

“PKR merakam bantahan keras tetapi terpaksa akur dengan arahan ini dan Majlis Pimpinan Pusat telah membuat keputusan untuk menangguhkan Kongres Nasional parti ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“Butiran keputusan akan diumumkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam amanat khas menerusi Facebook parti pada jam 11 pagi esok,” katanya yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

Semalam telah berlangsung persidangan secara maya melibatkan Kongres Nasional Wanita PKR dan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini. – Bernama, 5 Jun, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen