MKN, RoS arah tangguh kongres PKR, kata Nik Nazmi


PKR menerima arahan itu daripada MKN dan Pendaftar Pertubuhan semalam untuk menangguhkan Kongres PKR, kata Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2021.

KONGRES Nasional Parti Keadilan Rakyat yang dijadual berlangsung esok kini ditangguhkan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pejabat Pendaftar Pertubuhan, kata pengarah kongres Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR berkata pihak parti menerima arahan itu daripada MKN dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam.

“Keadilan telah menerima surat daripada MKN pada jam 6:21 petang, 4  Jun 2021 dan makluman secara lisan daripada pihak Pendaftar Pertubuhan pada hari yang sama  mengarahkan Kongres Nasional parti yang dijadualkan pada 6 Jun 2021 ditangguhkan.

“Arahan terbaru MKN ini bertentangan dengan pendirian mereka yang telah memberi persetujuan  dengan perjalanan Kongres secara dalam talian sepenuhnya melalui surat bertarikh 27 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Nik Nazmi tidak menyebut alasan penangguhan yang diberikan oleh MKN dan RoS.

Bagaimanapun The Malaysian Insight difahamkan MKN mengeluarkan arahan penangguhan itu kerana ada pelanggaran prosedur operasi standard berhubung kerja-kerja siaran langsung perjalanan mesyuarat.

Prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikemas kini setakat 2 Jun lalu membenarkan mesyuarat berjalan secara dalam talian, namun melarang kerja-kerja penggambaran, yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa.

Jelas Nik Nazmi, PKR membantah keras tetapi akur dengan arahan ini.

Majlis Pimpinan Pusat telah mengambil keputusan untuk menangguhkan Kongres Nasional parti, katanya.

Tambahnya, Presiden PKR Anwar Ibrahim akan menyentuh perkara ini dengan lebih lanjut dalam satu amanat khas menerusi Facebook parti pada pagi esok.

“Beliau akan turut menyentuh isu ekonomi dan Covid-19 serta perkembangan politik terkini,” katanya.

Sayap Wanita dan Pemuda PKR melangsungkan kongres nasional masing-masing pada semalam dan hari ini, juga secara dalam talian. – 5 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen