Mahkamah putuskan kesahihan pembentangan RUU355 pada 19 Febuari


Bede Hong

PADA 19 Febuari depan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada menolak atau menerima saman dilakukan bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfiq Ismail yang mahu pembentangan rang undang-undang pindaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Akta 1965 (RUU355) diisytiharkan sebagai melanggar Perlembagaan.

Tarikh itu jatuh pada hari keempat sambutan Tahun Baru Cina.

Hakim Kamaludin Md Said menetapkan tarikh itu selepas perbicaraan dalam kamarnya hari ini.

Tawfik memohon untuk membatalkan permohonan difailkan Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia yang mahu menghalang usahanya mendapatkan penghakiman mahkamah bagi menghentikan perdebatan Parlimen berkaitan rang undang-undang Syariah dimulakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Dalam notis perundangan bertarikh 8 Disember lalu, bekas ahli Parlimen Sungai Benut itu mengulangi hujahnya yang di bawah peruntukan Perlembagaan, semua hal ehwal perundangan berkaitan Islam perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum ia didebat dan diluluskan di Dewan Rakyat.

Rosli Dahlan, peguam Tawfik berhujah pada perbicaraan dalam kamar di hadapan Kamaludin hari ini yang Speaker dan prosiding Parlimen tidak boleh dilakukan melampaui hak keistimewaan Parlimen dan ia tidak kebal daripada prosiding mahkamah.

“Jawapan saya (bertulis kepada permohonan pembatalan difailkan Pandikar) yang ini bukanlah (soal) demokrasi ‘Parlimen’. Ia soal Perlembagaan,” kata Rosli kepada wartawan selepas tarikh itu ditetapkan.

“Dalam demokrasi berpelembagaan, tiga cabang…eksekutif, legislatif dan kehakiman, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan berkaitan bidang kuasa dan skop (tugas) mereka,” tambahnya.

Katanya lagi, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk masuk campur sekiranya Speaker bertindak melanggar peruntukan Perlembagaan.

“Dalam kes ini, tidak wujud keraguan yang mereka tidak pergi dan mendapat perkenaan Majlis Raja-Raja. Tidak wujud keraguan yang Aturan 49 Peraturan Mesyuarat tidak diikuti.”

Mac lalu, Tawfik memfailkan saman di mahkamah tinggi untuk mengisytiharkan pindaan dicadangkan Hadi berkaitan RUU355 tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja seterusnya melanggar Perlembagaan.

Beliau juga menghantar notis perundangan kepada Pandikar dan Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah selepas memfailkan saman itu bagi menghalang kelulusan rang undang-undang itu kerana ia sudah menjadi kes mahkamah.

Pada Oktober, Pandikar dan Roosme memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Tawfik. Mahkamah tinggi menetapkan 11 Januari untuk mendengar permohonan itu.

Dalam surat kepada mahkamah tinggi bertarikh 7 Disember, peguam Tawfik memohon supaya samannya didengar bersama permohonan Pandikar dan Roosme bulan depan.

Dalam hujah bertulisannya hari ini, Rosli menegaskan yang Malaysia “tidak seperti UK, di mana Parlimen UK berkuasa mutlak.”

“Salah untuk beranggapan yang Parlimen Malaysia boleh melakukan apa sahaja dengan apa sahaja cara, dan mahkamah tak boleh berbuat apa-apa kerana kekebalan Parlimen,”

Rosli juga menegaskan yang peranan Majlis Raja-Raja sebagai penampan, serta Perkara 76(2) dan 38(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan yang perundingan dan kelulusan Majlis Raja-Raja perlu diperolehi bagi undang-undang berkaitan Islam atau yang menjejaskan kedudukan dan keistimewaan mereka.

“Kekebalan Parlimen tidak boleh menggantikan Perlembagaan,” hujah Rosli.

Dalam hujah bertulisnya, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata Tawfik tidak mempunyai bidang kuasa mengheret Pandikar ke mahkamah, memetik Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan- yang menetapkan Parlimen boleh mengawal selia prosedurnya sendiri tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang persekutuan- dan Perkara 63 Perlembagaan yang menyatakan kesahihan mana-mana prosiding Parlimen tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Shamsul mengatakan Tawfik hanya boleh mencabar rang undang-undang itu selepas ia diluluskan Parlimen dan menjadi akta.

Rang undang-undang peribadi Hadi mahu meningkatkan hukuman mahkamah Syariah, dikenali sebagai RUU355 pertama kali dibentangkan di Parlimen pada 26 Mei tahun lepas dan masih berada dalam senarai Aturan Mesyuarat untuk persidangan Dewan Rakyat akan datang.

RUU355 mahu memberikan lebih kuasa hukuman kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah). Sekarang, kesalahan jenayah Syariah hanya boleh dijatuhi hukuman sehingga tiga tahun penjara, denda sehingga RM5,000 dan enam sebatan.

Hadi mahukan hukuman itu ditingkatkan kepada penjara sehingga 30 tahun, denda sehingga RM100,000 dan 100 sebatan. – 11 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen