Jangan ugut tak undi kami, kata Zahid kepada pemandu teksi


Kamles Kumar

Persatuan pemandu teksi menyuarakan tidak puas hati mereka dan mengugut hendak mengundi pembangkang sekiranya kerajaan gagal menyelesaikan kemelut antara mereka dan e-panggilan pengangkutan seperti Uber dan Grab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari,2018.

PUTRAJAYA tidak akan tunduk kepada ugutan kumpulan pemandu teksi yang mahu mengundi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Katanya, kerajaan sedang berusaha menyelesaikan masalah dihadapi pemandu teksi dan tidak berpihak kepada pengusaha e-panggilan pengangkutan.

“Saya akan minta Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai berjumpa mereka. Nancy Shukri yang bertanggungjawab kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga akan bertemu mereka dan menyelesaikan masalah ini.

“Tak perlu ugutan, kami tak terancam,” kata Zahid kepada wartawan pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri mengeluarkan kenyataan itu susulan ugutan kumpulan pemandu teksi diketuai oleh penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail.

Beliau mendakwa pemandu teksi akan mengundi Pakatan Harapan dan bukannya Barisan Nasional jika kerajaan terus memberikan sokongan kepada perkhidmatan e-panggilan pengangkutan.

“Kami, industri teksi akan beri sepenuhnya undi kami kepada Pakatan Harapan pada PRU14 jika kerajaan tidak ikhlas, jujur dan telus dengan tidak memandang sewajarnya (masalah) dihadapi industri teksi.

“Hentikan drama kerana kami tahu PRU14 semakin dekat dan PM, tolong jadi lelaki (budiman) dengan memenuhi janji yang diberikan pada PRU13 dengan tidak mengkhianati periuk nasi industri teksi,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Kenyataan Shamsubahrin itu dikeluarkan selepas Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing yang mengatakan rakyat lebih gemar menggunakan e-perkhidmatan pengangkutan seperti Uber kerana ia lebih menjimatkan.

Pemandu teksi di Sarawak melakukan bantahan awal minggu ini kepada perkhidmatan seperti Uber dan Grab yang membawa dan mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. – 11 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • yang pasti kerajaan akan bantu menyelesaikan masalah yang melanda pemndu pemandu teksi dengan segera dan sebaik mungkin bukan kerana rasa tergugat dengan ugutan pemandu malah lebih kepada dasar kemakmuran dan keadilan bagi semua pihak

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan