Penjara bimbang pertemuan Dr Mahathir-Anwar undang kontroversi


Kamles Kumar

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas gagal bertemu Anwar Ibrahim di Pusat Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2018.

DR Mahathir Mohamad disekat menziarahi Anwar Ibrahim bagi mengelak timbulnya sebarang kontroversi, kata Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar, dan keputusan itu dibuat oleh pihak Penjara Sungai Buloh.

Beliau menjelaskan Dr Mahathir tidak membuat sebarang permohonan rasmi untuk menziarah dan pegawai bertanggungjawab di Penjara Sungai Buloh bimbang lawatan tersebut akan menimbulkan implikasi negatif.

“Keputusan itu dalam bidang kuasa pegawai yang bertanggungjawab ke atas Penjara Sungai Buloh. Ada kebimbangan pada pihak penjara sendiri, sekiranya kita benarkan mereka berjumpa ia mungkin akan jadi kontroversi.

“Kita juga bimbangkan keselamatan dan ancaman yang dihadapi. Ada kebimbangan isu ini juga akan jadi tular,” katanya kepada wartawan dalam satu sidang media di Putrajaya.

Beliau juga menjelaskan semua pelawat Anwar sebelum ini termasuk Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuat permohonan melalui saluran rasmi.

“Sebelum ini apabila beliau (Anwar) menerima pelawat, ada permohonan dibuat.

“Menurut Seksyen 22 Akta Penjara, apabila seseorang banduan ditahan di hospital, ia masih sama seperti dia ditahan di penjara.

“Oleh itu, dia masih ditadbir oleh peraturan-peraturan penjara, dan sebarang kebenaran untuk melawat hanya boleh diberikan oleh penjara.

“Ahli keluarga dibenarkan melawat tahanan di hospital. Bagaimanapun, pelawat lain memerlukan kebenaran khas,” tambah Zulkifli.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekatan itu ada kaitan dengan politik sebaliknya berkata ia tergantung penuh pada budi bicara pihak penjara.

“Keputusan itu bukan daripada menteri. Dalam hal-hal operasi, saya beri keyakinan penuh kepada jabatan-jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri.”

Dr Mahathir semalam disekat daripada menziarahi Anwar di Pusat Rehabilitasi Cheras selepas pegawai pusat rawatan itu memberitahu ada arahan daripada atas untuk tidak memberi kebenaran lawatan.

Dr Mahathir pada Ahad dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan dan kunjungan itu sepatutnya jadi ziarah pertama beliau ke atas pemimpin PKR itu.

Anak Anwar, Nurul Izzah turut mempersoalkan sikap Jabatan Penjara yang dikatakan tidak konsisten apabila membenarkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz menziarahi bapanya tahun lalu. – 11 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tun sepatutnya buat permohonan rasmi terlebih dahulu untuk melawat anwar ibrahim lagipun Anwar masih tertakluk di bawah undang2 penjara sungai buloh, mana blh suka hati tanpa permohonan untuk datang melawat kerana dibimbangkan akan timbul perkara yang tidak diingini.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan