Kenapa Nazri Aziz boleh lawat, Dr Mahathir tak boleh, soal Nurul Izzah


Muzliza Mustafa

Kelulusan melawat Anwar tidak konsisten, kata Nurul Izzah merujuk kepada larangan Dr Mahathir sedangkan menteri Nazri Aziz dibolehkan melawat ketua umum PKR itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Januari, 2018.

HASRAT Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad untuk melawat Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara ditolak oleh Jabatan Penjara walaupun permohonan sudah dibuat awal, kata anak perempuan Anwar, Nurul Izzah.

Katanya, penolakan itu mengejutkannya itu berlaku walaupun wujud perbincangan dengan pihak pengurusan hospital untuk membenarkan Dr Mahathir datang melawat

“Ada tiga pihak yang kami perlu dapat kelulusan tetapi pihak hospital kata mereka tak akan masuk campur dengan lawatan itu. Ini ada kaitan dengan kuasa menteri.

“Bagaimanapun ada beberapa individu seperti Menteri Kabinet, Nazri Aziz yang dibenarkan. Tidak konsisten. Bagaimanapun, kami tertakluk kepada arahan orang atas,” katanyanya ketika ditemui di Hospital Rehabilitasi di Cheras hari ini.

Beliau menambah bahawa tidak ada jawapan rasmi atas permohonan lawatan tetapi beliau mendapat maklumat Dr Mahathir tidak akan dibenarkan melawat Anwar.

“Beliau merancang untuk melawat sejak selepas pembedahan dan kami tahu dah lama (bahawa Dr Mahathir tidak akan dibenarkan melawat Anwar) dan kami sudah berbincang dengan Dr Mahathir dan cuba menjadikannya kenyataan. Itu sebabnya kami berjumpa dengan pihak hospital untuk mendapatkan kerjasama mereka,” kata Nurul Izzah.

Malah katanya, penolakan itu juga satu kejutan kepada Dr Mahathir.

Dr Mahathir mengadakan perbincangan dengan pengurusan hospital sekitar 10 minit selepas beliau tiba dan kemudian menuju ke bahagian wad di mana Anwar ditempatkan.

Beliau bagaimanapun tidak dibenarkan masuk. Difahamkan terdapat lebih 30 orang pegawai penjara dan anggota polis di sepanjang koridor dan juga di pintu masuk ke wad ketika itu.

Ini adalah kali pertama Dr Mahathir melawat Anwar di hospital. Dia mahu melawat lebih awal tetapi terhalang kerana terlibat dengan mesyuarat dan sesi bertemu orang ramai. Dr Mahathir juga mengalami masalah kesihatan sebelum ini.

Dr Mahathir yang jelas kelihatan kecewa selepas gagal melawat Anwar, meninggalkan hospital pada jam 4.50 petang iaitu kira-kira 20 minit selepas ketibaannya. – 10 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen