Peguam dibenarkan di mahkamah untuk kes tertentu sahaja, kata menteri


Hailey Chung Wee Kye

Pengecualian untuk hadir secara fizikal di mahkamah untuk kes baharu, permohonan perintah reman, dan ia perlu mendapat surat kebenaran polis, kata Takiyuddin. – Gambar EPA, 1 Jun, 2021.

PUTRAJAYA kini telah memberikan pengecualian untuk peguam hadir secara fizikal di mahkamah untuk kes baharu, permohonan perintah reman dan pelbagai permohonan jenayah, kata Takiyuddin Hassan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, peguam yang mewakili pelanggan mereka dalam kes-kes ini boleh mendapatkan surat kebenaran dari balai polis berdekatan untuk hadir di mahkamah.

Katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meluluskan perkara ini setelah mesyuarat khas semalam.

Kerajaan juga bersetuju firma guaman yang terlibat dengan perkhidmatan undang-undang korporat dan pengangkutan untuk 17 sektor perkhidmatan perlu meminta kebenaran untuk beroperasi bersesuaian dengan perkhidmatan syarikat.

“Firma undang-undang yang mewakili syarikat atau kilang atau perniagaan yang berkaitan perlu dapatkan kebenaran untuk beroperasi dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui laman web Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.”

Menteri itu juga mengingatkan peguam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk perkhidmatan undang-undang semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh bermula hari ini hingga 14 Jun.

Sebelum ini, Putrajaya mengumumkan perkhidmatan undang-undang tidak disenaraikan dalam kategori perkhidmatan penting dalam dua minggu ini.

Semalam, Istana Kehakiman turut mengeluarkan kenyataan bahawa semua perbicaraan kes jenayah di mahkamah akan ditunda.

Bagi kes-kes sivil, pendengaran kes hendaklah dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh berdasarkan Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2021 Pengendalian Kes Sivil Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh Bagi Mahkamah Di Seluruh Malaysia (AA KHN 1/2021). 

Bagi maksud ini, pengendalian prosiding melalui kaedah hibrid adalah tidak dibenarkan. – 1 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen