Peniaga terpaksa kurangkan pekerja dan belanja elak gulung tikar, kata persatuan


Bernard Saw

Industri memerlukan moratorium untuk bayaran semula pinjaman bank bagi tempoh 3-6 bulan serta subsidi untuk upah dan sewa premis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2021.

EMPAT daripada 10 perniagaan kecil dan sederhana (PKS) akan berdepan masalah kewangan kesan daripada sekatan pergerakan penuh dan merancang untuk kurangkan pekerja bagi mengurangkan perbelanjaan.

“Dianggarkan 40% PKS akan berdepan masalah kewangan. Ada sesetengah syarikat turut bersedia untuk menggantung operasi selama setengah tahun dan mengurangkan perbelanjaan. Saya bimbang sekiranya situasi semakin teruk dan lebih ramai lagi rakyat Malaysia hilang pekerjaan,” kata Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang.

Kang berkata industri memerlukan moratorium untuk bayaran semula pinjaman bank bagi tempoh 3-6 bulan serta subsidi untuk upah dan sewa premis.

Beliau berkata Kementerian Kewangan perlu campur tangan dan berunding dengan bank utama untuk melanjutkan tempoh bayaran semula pinjaman bagi membantu PKS mengurangkan masalah aliran tunai serta membantu mereka dalam tempoh sukar.

Ditanya mengenai cadangan kerajaan agar syarikat berunding sendiri dengan bank masing-masing, Kang berkata ia tidak akan berkesan.

“Daripada pengalaman sebelum ini kita tahu rundingan ini tidak berkesan. Jika tidak kerana kerajaan, kebanyakan bank tidak akan memberikan sebarang moratorium pinjaman.”

Beliau berkata kira-kira 40% PKS hanya bertahan untuk tempoh 3 bulan lagi sekiranya kerajaan tidak membantu mereka.

“Saya menerima panggilan daripada pengusahai industri Melaka sebelum ini dan katanya syarikatnya langsung tiada pendaoatan bulan ini. Bagaimana dia mahu teruskan operasi? Dia terpaksa berhentikan pekerja untuk mengurangkan perbelanjaan.”

Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Albert Tan Sam Soon berjata sejak tahun lalu, ramai pekerja agensi pelancongan diberhentikan.

Dan dengan program subsidi upah yang hampir tamat, Tan bimbang akan ada lagi pekerja yang akan diberhentikan.

Pada 17 Mac, ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), beliau menyatakan menurut belanjawan 2021, industri pelancongan dan peruncitan akan menerima subsidi di bawah pelan subsidi upah sehingga Jun, dan selepas pengumuman terbaharu, ia akan dilanjutkan hingga September.

Dana ini dijangka akan membantu 400,000 pekerja dan 37,000 majikan. Setakat 5 Mac tahun ini, kerajaan memperuntukkan lebih RM14.4 bilion untuk program subsidi upah bagi membantu 2.7 juta pekerja dan lebih 330,000 majikan.

Bagaimanapun Tan menyatakan menurut situasi terkini, industri pelancongan akan memerlukan setahun lagi untuk pulih.

“Lanjutkan pelan ini sehingga semuanya pulih, dan jumlahnya juga perlu ditingkatkan, dari RM600 kepada RM800-RM1,000.”

Beliau menjelaskan kebanyakan perniagaan berdepan masalah aliran tunai kerana syarikat masih terus beroperasi walaupun tiada perniagaan tidak mendapat sambutan.

“Walaupun kerajaan menggalakkan perniagaan untuk berunding dengan pihak bank bagi melanjutkan bayaran pinjaman, kebanyakan ahli menyatakan mereka tidak mendapat sebarang moratorium dari pihak bank.

“Oleh itu, jika kerajaan tidak campur tangan, banyak syarikat pelancongan akan gulung tikar.”

Tan berkata kerajaan perlu sediakan penyelesaian setiap kali mengumumkan sekatan pergerakan.

Presiden Pan Malaysia Koo Soo Restaurants & Chefs Association Wong Teu Hoon berkata sekatan pergerakan turut menjejaskan industri makanan dan minuman.

“Industri cuba sedaya upaya untuk mencari dana dan modal, jika tidak mereka terpaksa menutup perniagaan. Sesetengah restoran mengurangkan perbelajaan dengan memberhentikan sementara pekerja mereka.”

Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun hingga 14 Jun.

Dalam tempoh ini, semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi.

Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 melonjak melebihi 8,000 kes sehari.

Sabtu lalu, Malaysia merekodkan jumlah kes baharu tertinggi iaitu 9,020 menjadikan jumlah kes aktif kepada 76,218. Ia turut merekodkan angka kematian tertinggi iaitu 98 kes. – 31 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen