Tiada pilihan, sekatan penuh juga akhirnya


The Malaysian Insight

Putrajaya semalam umum PKP penuh akan dilaksanakan seperti Mac tahun lalu berkuat kuasa 1 hingga 14 Jun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2021.

TANDA-tandanya sudah nampak jelas dan amaran pun sudah diberi tetapi tidak banyak pihak yang peduli, sampailah semalam apabila 72,823 orang dirawat sakit Covid-19 di seluruh negara.

Ketika rekod jangkitan Covid-19 diperbaharui hari demi hari sejak beberapa minggu lalu, Putrajaya tiada pilihan selain menguatkuasakan sekatan penuh – langkah yang beberapa hari sebelumnya kerajaan kata tidak akan dilakukan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 23 Mei lalu berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan sekatan penuh seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan lebih ramai hilang pekerjaan.  

Banyak pihak menggesa supaya kerajaan melaksanakan PKP penuh kerana itulah jalan terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan dan mengelakkan sistem kesihatan lumpuh.

Kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 di Lembah Klang sahaja sudah mencecah 113%, sementara di seluruh negara 91%. 

Angka kematian tertinggi direkodkan pada 26 Mei lalu iaitu 63 orang. Kematian di luar hospital atau Brought In Dead (BID) yang positif Covid-19 juga menunjukkan peningkatan, secara tidak langsung menandakan sistem penjagaan kesihatan negara sudah kritikal, kata pakar kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook pada 19 Mei lalu berkata petugas barisan hadapan negara sudah lesu dan kepenatan. 

“Tolonglah kami agar kami masih dapat menolong anda apabila bila tiba masa dan waktunya,” katanya.

Putrajaya sebelum ini melaksanakan PKP 3.0 berkuat kuasa 12 Mei hingga 6 Jun, susulan angka harian Covid-19 meningkat antara 3,000 hingga 4,000 kes, dengan 37,000 kes aktif.

Awal bulan ini Dr Noor Hisham berkata sistem kesihatan negara sedang menghadapi tekanan besar, sehingga Kementerian Kesihatan terpaksa menukar fungsi pelbagai ruang di hospital untuk diubah menjadi wad ICU bagi merawat pesakit Covid-19.

Kemasukan kes kritikal ke ICU ketika itu juga meningkat 44% berbanding tempoh dua minggu sebelumnya di seluruh negara dengan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak menunjukkan kadar peningkatan lebih tinggi.

Penggunaan katil di 22 hospital Covid-19 katanya sudah melebihi 70%, termasuk ada yang mencecah lebih 90%.

Pelaksanaan PKP 3.0 mendapat kritikan banyak pihak kerana ia tidak seketat perintah yang dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu. Tidak seperti PKP 1.0, sektor ekonomi kali ini dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan.

Pengkritik menggesa kerajaan mengenakan sekatan pergerakan penuh, atas alasan PKP 3.0 separuh masak dan tidak akan berkesan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. – 29 Mei, 2021.  

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen