Hospital diarah sedia hadapi kes mendadak Covid-19


Sebanyak 500 kes dimasukkan ke ICU semalam yang merupakan rekod tertinggi yang dicatatkan di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2021.

SEMUA hospital di seluruh negara diarah bersiap siaga bagi menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 dengan simptom serius, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu mengarahkan demikian kepada semua pengarah jabatan kesihatan negeri dalam satu surat yang dilihat The Malaysian Insight.

Dr Noor Hisham antara lain menyatakan kes dijangka meningkat dengan kebolehjangkitan pada kada (r0) 1.07 seluruh negara, musim perayaan, liputan vaksin rendah dan kepadatan penduduk.

Beliau menjangka lebih banyak kes melibatkan simptom kategori 3, 4, dan 5 yang berisiko kepada warga tua dan golongan dengan komorbiditi.

Dalam surat berkenaan Dr Noor Hisham menjelaskan langkah itu sebagai persediaan memandangkan kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat 44% berbanding dua minggu lalu.

Sebanyak 500 kes dimasukkan ke ICU semalam yang merupakan rekod tertinggi, katanya dalam surat bertarikh 7 Mei.

“Sebanyak 22 hospital KKM mencatatkan penggunaan katil ICU Covid-19 lebih 70% dan ada yang mencecah lebih 90%,” katanya.

Surat itu juga mengarahkan semua anggota bidang klinikal dmembantu rawatan Covid-19 termasuk di unit rawatan rapi (ICU).

Untuk tujuan itu, semua pembedahan dan prosedur elektif ditangguhkan supaya lebih banyak katil digunakan untuk kes Covid-19 termasuk katil ICU, kata Dr Noor Hisham.

Ia turut menyebut arahan khusus untuk mengoptimumkan penggunaan katil di hospital hibrid Covid-19.

“Pihak hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri perlu memastikan agihan katil Covid-19 ini mencecah 50% dari jumlah keseluruhan katil di hospital tersebut semasa hospital berdepan dengan peningkatan kes mendadak.”

Beliau seterusnya mengarahkan agar lebih banyak ruang atau wad di hospital ditukar fungsi menjadi wad ICU dengan menambah katil sedia ada, sebagai tambahan kepada 482 wad yang sudahpun ditukar fungsi.

Surat tersebut juga mengarahkan semua pakar dan semua kakitangan digembleng sementara ke wad Covid-19 termasuk ICU, menurut surat bertarikh 7 Mei.

Untuk mengelak kelesuan, kakitangan diarah melaksana kerja secara giliran dan anggota yang baru dilantik perlu diberikan latihan singkat dan pantas dengan pemantauan secara buddy system.

Ia merupakan antara arahan khusus bagi mengoptimumkan sumber tenaga manusia di hospital negeri masing-masing dengan sepenuhnya, ekoran peningkatan kes di hampir setiap negeri.

Hospital yang tidak merawat Covid-19 juga diarah menerima lebih banyak rujukan dari hospital merawat kes tersebut, kata Dr Noor Hisham.

Ia turut menggariskan arahan melaksana pemantauan dan kuarantin di rumah untuk pesakit Covid-19 tanpa gejala dan gejala ringan dilaksana sebaiknya.

Penangguhan prosedur elektif berkenaan juga bagi membolehkan anggota semua bidang klinikal digembleng untuk membantu rawatan Covid-19.

Semalam, Dr Noor Hisham juga mendedahkan seramai 295 pesakit dalam ICU Covid-19 memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes mencacat rekod baharu dengan 4.498 kes baharu direkodkan semalam. – 8 Mei, 2021.

 – 8 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen