Bedah siasat dapati pengawal keselamatan maut kerana serangan jantung


POST-MORTEM terhadap pengawal keselamatan Sivabalan Subramaniam ketika berada dalam tahanan polis Gombak mengesahkan dia meninggal dunia akibat serangan jantung, kata Arjunaidi Mohamed.

Ketua polis Selangor itu berkata, bedah siasat terhadap lelaki berusia 43 tahun itu mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

“Pemeriksaan terhadap tubuh badan si mati juga telah dilakukan dengan disaksikan oleh waris dan ahli keluarga si mati. Hasil pemeriksaan tubuh badan mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Arjunaidi berkata, bedah siasat telah dibuat hari ini sekitar pukul 9.30 pagi hingga 1.30 petang oleh Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Kuala Lumpur di Institut Perubatan Forensik Negara, HKL.

Beliau berkata keluarga si mati juga telah dimaklumkan mengenai punca kematian oleh pihak hospital.

“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

“Kertas siasatan yang telah dilengkapkan nanti, akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwaraya dengan cadangan agar satu prosiding inkues berkaitan dengan kematian ini dapat dijalankan.”

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan Sivabalan dipanggil polis dari tempat kerjanya di Bandar Baru Selayang untuk siasatan kes pemerasan.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe dalam satu kenyataan berkata Sivabalan dibawa ke ibu pejabat polis daerah pada pukul 11.40 pagi, setelah itu dia mengadu sukar bernafas.

Polis kemudiannya memanggil ambulans di mana pegawai perubatan berusaha menyelamatkan Sivabalan yang dinyatakan meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah hari.

Awal hari ini, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) telah menggesa Putrajaya memulakan siasatan bagi mengetahui punca kematian.

Mereka berkata bahawa siasatan itu juga penting bagi mengetahui pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian. – 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen