Tiada kes Neelofa rentas negeri beli karpet, kata pejabat peguam negara


Semalam, Neelofa dan Muhammad Haris mengaku tidak bersalah atas tuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual untuk daftar masuk ke sebuah kedai karpet di Nilai pada 2 Mei lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Mei, 2021

NOOR Neelofa Mohd Noor dan suami Muhammad Haris Mohd Ismail tidak akan didakwa atas kesalahan merentas negeri, kata polis, selepas tular gambar dan video pasangan itu berada di sebuah kedai karpet di Nilai, Negeri Sembilan awal bulan ini.

Ketua Polis Nilai Mohd Fazley Ab Rahman berkata Pejabat Peguam Negara membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan yang diperoleh berhubung dakwaan tersebut, lapor BH.

“Isu rentas negeri membabitkan Neelofa dan suaminya tidak dibawa ke mahkamah selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara. 

“Kajian dan keputusan itu telah dibuat terlebih dulu berdasarkan keterangan yang ada,” katanya, seperti dipetik laporan itu.

Semalam, Neelofa dan Muhammad Haris mengaku tidak bersalah atas tuduhan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual untuk daftar masuk ke sebuah kedai karpet di Nilai pada 2 Mei lalu.

Muhammad Haris juga berdepan satu pertuduhan tambahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam seperti ditetapkan dalam SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Neelofa dikenakan ikat jamin RM5,000 sementara Muhammad Haris diikat jamin RM10,000. Kes akan disebut semula pada 4 Jun ini.

Media semalam juga memetik peguam mereka Haresh Mahadevan berkata pasangan selebriti itu hadir ke mahkamah atas tuduhan melanggar SOP PKPB dan bukan membabitkan isu rentas negeri.

Kes ini timbul selepas Neelofa memuat naik di Instagram sepotong video pendek yang menunjukkan beliau dan suami berada di sebuah kedai karpet, yang kemudiannya dikenal pasti terletak di Pusat Perniagaan Nilai 3.

Dalam pada itu, polis hari ini mengesahkan membuka satu lagi siasatan terhadap Neelofa selepas didakwa tidak memakai pelitup muka semasa hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban semalam.

Ini adalah sekurang-kurangnya kes kelima pelanggaran SOP mencegah penularan Covid-19 yang disiasat polis melibatkan Neelofa, termasuk dua kes yang telah dikompaun pada hujung April dan satu lagi kes yang didakwa semalam. – 21 Mei, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen