POLIS membuka satu lagi siasatan terhadap selebriti Noor Neelofa Mohd Noor selepas didakwa tidak memakai pelitup muka semasa hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban semalam, lapor Bernama.
Ini adalah sekurang-kurangnya kes kelima pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19 yang disiasat polis melibatkan Neelofa, termasuk dua kes yang telah dikompaun pada hujung April dan satu lagi kes yang didakwa semalam.
Ketua Polis Seremban Mohd Said Ibrahim dipetik berkata siasatan dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis semalam.
“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia kepada semua orang.
“Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,” katanya, seperti dipetik portal berita itu.
Semalam kehadiran Neelofa ke Kompleks Mahkamah Seremban sekali lagi jadi cemuhan ramai apabila foto-foto dalam liputan media menunjukkan bayangan wajahnya di sebalik niqab tanpa memakai pelitup muka.
Neelofa hadir bersama suami Muhammad Haris Mohd Ismail untuk menghadapi tuduhan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di sebuah kedai karpet, di Nilai pada 2 Mei lepas.
Majlis Keselamatan Negara menetapkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam bermula 1 Ogos tahun lalu, termasuk bagi wanita yang mengenakan purdah atau niqab.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga pada Oktober 2020 menasihat wanita yang berpurdah dan berniqab supaya patuh memakai pelitup muka demi kesihatan mereka sendiri untuk mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.
Katanya, purdah dan niqab bukan ganti pelitup muka.
Menurut Mohd Said, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecuaian yang boleh merebakkan jangkitan dan membahayakan nyawa.
Kes juga disiasat di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, tambahnya.
“Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi,” katanya.
Semalam, Neelofa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera atau atau mendaftar secara manual nama dan nombor telefon yang boleh dibaca untuk masuk ke premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd pada 2 Mei lalu.
Haris juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan satu lagi pertuduhan tambahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Neelofa dikenakan ikat jamin RM5,000 sementara Haris diikat jamin RM10,000. Kes akan disebut semula pada 4 Jun ini.
Pada hujung April lalu, Neelofa dan Haris masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar SOP semasa majlis pernikahan mereka serta merentas negeri ke Langkawi.
Seramai 20 ahli keluarga selebriti itu juga dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana melanggar SOP penjagaan jarak fizikal semasa majlis keramaian.
Neelofa dan keluarganya juga sedang menunggu tindakan lanjut pejabat pendakwa raya selepas didakwa melanggar SOP PKP setelah tular video mereka menyambut hari raya bersama di sebuah rumah di Kuala Lumpur, minggu lalu. – 21 Mei, 2021
Komen